Menjadi
fitrah kita seorang manusia, yang lemah lagi lupa, untuk melakukan pelbagai
dosa, samaada besar atau kecil mahupun dalam keadaan sedar atau tidak. Mungkin
setiap hari kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat kepada
Allah SWT. Kadang-kadang, jika difikirkan, begitu hinanya menjadi seorang
manusia yang merupakan hamba Allah SWT. Dengan pelbagai nikmat yang Allah SWT
sediakan dan kurniakan kepada kita, namun apa yang dibalas oleh kita ialah
banyak melakukan dosa dan maksiat kepada-Nya. Astaghfirullah Al-‘Azim.
Pun
begitu, Allah SWT tidak membiarkan manusia asyik dengan dosa-dosa mereka.
Diutuskan kepada kita Nabi Muhammad SAW, untuk membetulkan diri kita, untuk
mendidik diri-diri manusia. Baginda Rasulullah SAW membawa ajaran Al-Quran yang
antaranya bertujuan mengajarkan manusia bagaimana untuk mendidik diri dan
menyucikan jiwa. Baginda SAW sendiri menjadi contoh tauladan yang paling
sempurna kepada manusia dalam mengajarkan cara-cara untuk mentarbiyah diri dan
membasuh jiwa. Lihatlah, bagaimana berjayanya Baginda Rasulullah SAW dalam
mendidik diri para sahabat, yang ada dikalangan mereka ketika zaman jahiliyyah
adalah seorang manusia yang paling jahat dan hina, namun hasil asuhan Rasulullah
SAW, mereka menjadi pejuang Islam yang hebat dan mulia.
Hakikatnya,
kini Baginda Rasulullah SAW sudah tiada untuk membimbing kita secara lansung
dalam urusan mendidik jiwa. Yang ada hanyalah dua perkara yang sangat besar,
yang diwariskan Rasulullah SAW kepada kita semua. Al-Quran dan As-Sunnah.
Inilah dua sumber yang digunakan untuk mendidik diri para sahabat dahulu, dan
dua sumber inilah juga yang ditinggalkan untuk menjadi panduan kita semua,
ummat akhir zaman. Jika diperhatikan dan ditadabbur secara menyeluruh, maka
kita akan dapati banyak sekali ayat-ayat Al-Quran dan juga Hadis-hadis yang
mengajrkan manusia jalan-jalan untuk mendidik diri dan membasuh jiwa. Lebih
daripada cukup untuk kita jadikan amalan dalam mentarbiyah diri kita ini.
Dalam
dunia yang semakin dipenuhi fitnah dan dugaan yang semakin mencabar ini, begitu
sukar sekali untuk diri ini mendidik jiwa, apatah lagi untuk menyucikan jiwa
yang penuh dengan kotoran. Ya Allah, memang sukar sekali. Ada ketika, aku
merasakan diri ini adalah seorang hamba yang baik, namun banyak masa diri ini
bergelumang dengan kelaghaan dan dosa-dosa. Saat berada di majlis ilmu, aku
menjadi manusia yang penuh keinsafan, namun keluar sahaja aku terus lupa dan
alpa. Saat berada bersama orang Alim dan Ahli Ibadat, aku begitu termotivasi
untuk beramal, namun tatkala aku berseorangan, begitu berat sekali untuk
melaksanakan perintah-MU.
Benarlah
sekali Hadis Baginda Rasulullah SAW tentang hakikat diri manusia, di mana pada
waktu pagi mereka beriman, namun petangnya mereka kufur. Ada pula yang waktu
petangnya beriman, namun pada waktu pagi menjadi seorang yang kufur. Apabila
memuhasabah diri pada hadis ini, Ya Allah, sukar untuk aku berlepas diri dari
menjadi golongan itu. Betapa aku tidak mampu untuk mengekalkan momentum imanku
di saat ia baik. Banyak sekali jalan-jalan yang mendorong ke arah kejahatan,
yang tumbuh bagai cendawan di dunia akhir zaman ini. Banyak sekali
fitnah-fitnah dunia yang tidak mampu aku hadapinya.
Betapa
aku sedar dan tahu bahawa diri ini perlu ditarbiyah, jiwa ini perlu disucikan.
Setiap hari titik-titik hitam mula menutupi ruang-ruang hati, menghalang cahaya
petunjuk-Mu daripada sampai ke jiwa. Betapa diri ini sedar, maksiat itu adalah
dosa, dan dosa balasannya neraka. Namun dosa juga yang menjadi pakaian diri.
Munafikkah diri ini? Hanya kepada-Mu aku menyerahkan urusan ini, semoga aku
dipermudahkan untuk mendidik diri dan menyucikan jiwa.
No comments:
Post a Comment