Detik Waktu

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, March 19, 2012

BICARA MALAM: BERSEDIAKAH KITA?

“Berapa umur pak cik sekarang?”

“65, nak. Sudah tua. Ajal pun dah semakin dekat. Anak pula, berapa umurnya?”

“Baru 27 tahun pak cik. Masih muda.”

“Baguslah, muda-muda lagi sudah rajin datang majlis ilmu. Pak cik muda-muda dulu banyak mensia-siakan masa. Berfoya-foya, berhibur. Dah tua ni la baru nak insaf dan menambah sedikit sebanyak ilmu agama”

“Alhamdulillah pak cik, Allah masih beri peluang kepada pak cik untuk bersiap sedia bertemu dengannya kelak. Walaupun masih muda, saya tak tahu bila ajal tiba. Sebab itulah saya cuba untuk mempersiapkan diri selagi masa masih ada”

“Alhamdulillah, bagus-bagus. Semoga rahmat dan hidayah Allah bersama kamu”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bersediakah kita?
Untuk bertemu Tuhan menghisab usia,
Menghitung amal dan juga usaha,
Menuju syurga ataupun neraka.

Bersediakah kita?
Saat ajal semakin tiba,
Usia juga semakin tua,
Namun amal belum perkasa.

Bersediakah kita?
Menuju akhirat meninggalkan dunia,
Ketika dunia masih mempersona,
Melekat di hati juga jiwa.

Bersediakah kita?
Mengharungi saat paling duka,
Ketika mentari sejengkal di kepala,
Dikumpul manusia untuk dihisab usia.

Bersediakah kita?
Dengan ibadah tidak terlaksana,
Syariat agama terus dilupa,
Islam hanya pada nama.

Bersediakah kita?
Dengan dosa masih tersisa,
Taubat tidak juga dipinta,
Maksiat juga semakin membaja.

Bersediakah kita?
Untuk mengadap Allah Yang Esa,
Menerima kitab hitungan usia,
Kanan ke syurga, kiri ke neraka.

Bersedialah!
Mati itu pasti,
Dunia hanya ilusi,
Akhirat itu realiti,
Mengadap Allah dengan hati suci.

Thursday, May 12, 2011

KITA ADALAH SAUDARA RASULULLAH SAW

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bagaimana iman kita pada saat ini? Semoga ia berada pada tahap terbaik dan sentiasa diperbaharui dengan kalimah ‘La Ilaha Illallah’.

Bagaimana diri kalian pada detik ini? Semoga kesihatan, kedamaian dan ketenagan menghiasi segenap aspek diri anda. Ingatlah wahai diri yang hina, diri kita ini adalah milik Allah SWT, ia hanyalah pinjaman sementara untuk kita merasai nikmat kehidupan di dunia ini. Kelak ia akan dikembalikan kepada Si Pemilik mutlaknya.

Wahai sahabat, bertaubatlah kita kepada Allah SWT. Sentiasalah dan perbanyakkanlah taubat dan ucapan Istighfar kita kepada Allah SWT. Ya, kita ini adalah hambaNya yang lemah, jahil lagi mudah pelupa. Kita banyak melakukan khilaf dan maksiat kepada Allah, sama ada sedar atau tidak, sama ada secara terang atau sembunyi. Semoga kelak kita kembali kepada Allah SWT dalam keadaan bersih suci sebagaimana kita dilahirkan ke dunia ini. Inilah yang sepatutnya.

Alhamdulillah, pagi ini apabila aku membuka FB, aku membaca satu entri link blog salah seorang sahabatku. Beliau berkongsikan tentang pentingnya kita berpagi-pagi dalam melakukan kebaikan. Dalam entri tersebut beliau berkongsi kisah hidup dua orang tokoh Islam, iaitu Hamka dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sentiasa mengisi waktu pagi mereka dengan menulis kitab dan juga memberi tazkirah ringkas selepas Solat Subuh. Subhanallah. Aku begitu terkesan untuk sama-sama dengan dua tokoh ini menggunakan ruang lapang waktu pagi ini untuk sama-sama berkongsi dengan kalian semua.

Pagi ini aku ingin membawa kalian semua kembali merenungi hakikat diri kita ini sebagai seorang Muslim lagi Mukmin. Mengenali hubungan kita dengan ketua sekalian manusia, guru sekalian pendidik, pemimpin sekalian ummat dan kekasih hati Rabbul Jalil. Aku ingin mengajak kalian merenung kembali ikatan kita dengan Rasulullah SAW. Menginsafi kembali akan rasa cinta dan kasihnya Baginda Rasulullah SAW kepada kita semua. Menghayati akan kerinduan yang mendalam Baginda Rasulullah SAW kepada kita semua.

Sahabat-sahabat sekalian, pernahkah kita bertanya kepada diri kita, siapakah kita pada pandangan Rasulullah SAW? Pernahkah kita bertanya apakah hubungan kita dengan Rasulullah SAW? Adakah kita ini hanyalah sekadar ummat akhir zaman, yang sekadar mewarisi Islam yang telah disampaikan dan disebarkan oleh Baginda Rasulullah SAW dahulu? Adakah kita ini hanyalah manusia biasa, yang hanya mengenali tubuh badan dan diri Baginda melalui sirah-sirah dan juga penceritaan di dalam Al-Quran?

Inilah antara persolan yang mungkin pernah terlintas di dalam fikiran kita semua. Aku ingin membawa satu kisah daripada hadis yang mampu merungkai dan menjelaskan segala persoalan di atas. Kisah yang berlaku terhadap Rasulullah SAW yang disaksikan oleh para sahabat baginda. Kisah yang tersangat menyentuh hati dan meruntuhkan jiwa semua manusia yang benar-benar mencintai baginda Rasulullah SAW.



Ana teringat satu kisah ketika Rasulullah dalam perjalanan pulang dari Haji Wida’, baginda Rasulullah SAW menangis. Sahabat pun bertanya: ”Kenapa kamu menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Aku merindui saudaraku”, Sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudaramu wahai Rasulullah?”,Baginda menjawab: ”Kamu semua bukan saudaraku tetapi sahabatku. Saudaraku ialah mereka yang datang selepasku, beriman kepadaku walaupun tidak pernah melihatku. Aku merindui mereka, kerana itulah aku menangis”

Allahuakbar! Subhanallah!

Inilah hakikat sebenar kita pada hati Rasulullah SAW. Kita ini adalah SAUDARA Baginda SAW. Sedarlah wahai sahabat-sahabat sekalian, apabila kita beriman kepada Rasulullah SAW, yang tubuh badannya tidak pernah kita lihat, bau harum tubuhnya tidak pernah kita cium, kejernihan wajahnya yang tidak pernah kita tatap, kita adalah saudara baginda. Inilah hakikat yang telah diakui sendiri oleh Rasulullah SAW. Apatah lagi baginda begitu merindui kita semua. Sedangkan pada ketika kisah ini ditakdirkan Allah SWT berlaku, kita masih lagi belum wujud di dunia ini.

Ya Allah, bagaimana mungkin Rasulullah SAW menangis, menyatakan rasa rindu Baginda kepada kami semua, saudara baginda, sedangkan kami semua masih belum lahir lagi ke dunia ini pada saat itu. Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan Mengetahu di atas semua perkara. Ya Allah, Rasulullah SAW telah mengetahui bahawa selepas kewafatan baginda akan lahir ummat manusia yang akan beriman kepadanya sedangkan mereka tidak pernah melihat tubuh badan baginda.

Wahai Sahabat-sahabat sekalian,

Tidakkah kita semua ini adalah saudara baginda Rasulullah SAW? Tidakkah kita semua ini adalah mereka yang dirindui oleh baginda Rasulullah SAW sehinggakan baginda menangis kerana bagitu merindui kita semua? Tidakkah kita semua ini adalah manusia yang beriman kepada Rasulullah SAW? Justeru, adakah kita hanya akan membiarkan rindu Rasulullah SAW itu tidak berbalas, tangisan baginda itu tidak kita hargai? Ayuh teman-teman, kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah SAW, sebagai menyatakan rasa rindu kita kepada baginda, sebagai tanda betapa cintanya dan kasihnya kita kepada baginda SAW.

Ya, kita tidak pernah berpeluang untuk bertemu dengan baginda SAW di dunia ini sebagimana para sahabat baginda sekalian. Namun, kita meyakini dengan sesungguhnya akan kerasulan baginda SAW. Dan kita meyakini bahawa kelak kita kan berjumpa, berdamping dan bermesra dengan Rasulullah SAW di dalam syurga Allah, InsyaAllah. Kita membuktikan rasa kasih kita dengan melaksanakan segala sunnah baginda SAW, dengan mewarisi perjuangan jihad baginda SAW dan dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT. Yakinlah sahabat-sahabat sekalian, dua orang yang bersaudara itu pasti akan dipertemukan kelak oleh Allah SWT dalam suasana yang penuh kedamaian dan tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT.



Allahumma Solli ‘Ala Muhammad, Allahumma Solli ‘Alaihi Wasallim.

Sunday, April 10, 2011

KISAH PAGI AHAD

Dengan Nama Allah SWT Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, pemimpin bagi sekalian ummat.

Alhamdulillah, satu pagi yang begitu tenang pada hari ini dengan dihiasi oleh titisan-titisan hujan yang menceriakan para makhluk Allah SWT. Pagi ini aku berkesempatan menemani seorang sahabat, Saudara Khairul, ke kompleks LKIM Pahang untuk membeli ikan dan udang. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana, setelah banyak kali mendengar akan kemurahan harga ikan, udang dan sotong di situ. Sangat benar sekali hakikat itu.

Kedua, melihat kepada kehidupan seorang sahabat yang telah berumah tangga, apatah lagi bukan sekadar bergelar seorang suami kini, bahkan juga seorang bapa walaupun masih lagi dalam tempoh pembelajaran di universiti, sangat-sangat mengkagumkan diri ini. Banyak yang boleh dipelajari dan diteladani daripada sahabat ini. Hari ini, dek kerana menemani beliau ke LKIM, aku telah belajar secara tidak lansung akan hakikat salah satu tanggungjawab dan kewajipan seorang suami, iaitu menyediakan keperluan asas (makanan) yang selayaknya untuk keluarga.



Ketiga, semasa dalam perjalanan ke LKIM, kami telah mendengar rakaman satu kuliah di IKIM.fm. Maaf, aku lupa nama ustaz yang menyampaikan kuliah tersebut. Namun apa yang ingin dikongsikan di sini ialah tentang satu kisah perumpamaan yang telah diceritakan oleh guru kepada ustaz yang menyampaikan kuliah tersebut. Guru beliau ialah Ustaz Dr. Said Ramadhan Al-Buuti. Kisah tersebut adalah berkenaan setaman pokok yang hidup dalam kegembiraan.

"Ada satu taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok. Ada pokok yang besar dan ada pokok yang kecil. Pada suatu hari pokok-pokok ini sedang bermain bersama dan bersuka ria serta bergembira sesama mereka. Tiba-tiba, jatuh satu mata kapak ke dalam kawasan taman mereka. Tidak tahu darimana mata kapak itu muncul. Keadaan menjadi kelam kabut. Ada diantara pokok-pokok itu yang menyatakan bahawa hayat mereka sudah tidak lama. Sudah pasti selepas ini mereka akan ditebang dengan menggunakan mata kapak itu.



Dalam keadaan yang penuh kecelaruan itu, mereka bersetuju untuk menemui satu pokok yang paling tua di tempat itu untuk bertanyakan kepadanya akan jalan penyelesaian bagi masalah itu. Lantas, mereka beramai-ramai pergi menemui pokok tua itu. Mereka menceritakan perkara yang berlaku kepada pokok tua itu. Lalu, pokok tua menyatakan pandangannya, "Kamu semua jangan risau dan bimbang. Mata kapak itu tidak akan dapat berbuat apa-apa ke atas kamu. Jika kamu semua tidak memberikan dahan atau batang kamu kepada mata kapak itu untuk dijadikan hulu, nescaya kapak itu tidak akan dapat berfungsi". Semua pokok itu kembali merasa aman dan tenang"

Inilah satu kisah yang di dalamnya ada satu hikmah/pengajaran yang sangat berguna untuk kita. Namun, aku tidak bercadang untuk menjelaskan akan hikmah tersebut. Aku ingin membuka ruang kepada sahabat-sahabat semua untuk membahaskan/membincangkan akan pengajaran di sebalik kisah pokok ini. Apakah yang dapat anda fahami dan simpulkan dari kisah ini?

Sunday, April 3, 2011

KISAH BATU BESAR

Pada suatu hari seorang pensyarah sedang mengajarkan tentang pengurusan waktu kepada para pelajarnya, jurusan MBA. Dengan penuh bersemangat, beliau berdiri di hadapan kelas dan berkata, "Ok, sekarang masa untuk kuiz". Beliau lalu mengeluarkan sebuah ember (bekas) kosong, lalu mengisi batu sebesar sekepalan tangan ke dalam beka itu. Batu terus diisi sehingga tiada lagi batu yang muat untuk dimasukkan. Lalu beliau bertanya kepada para pelajarnya, "Adakah bekas ini sudah penuh?". Semua mahasiswa serentak menjawab, "Ya".

Pensyarah itu bertanya, "Sungguhkah begitu?". Lalu beliau mengeluarkan sebungkus batu kerikil kecil dari dalam meja, lalu diisikan batu kerikil itu ke dalam bekas tadi. Selepas itu, beliau mengoncangkan bekas itu sehingga batu kerikil itu jatuh ke bahagian bawah bekas itu, mengisi ruang-ruang kosong yang ada di celah-celah batu. Lalu pensyarah itu sekali lagi bertanya kepada para pelajarnya, "Adakah bekas ini telah penuh?". Kali ini semua mahasiswa terdiam. Seseorang seraya menjawab, "Mungkin tidak".

"Bagus sekali", kata pensyarah itu. Kemudian, beliau mengeluarkan satu kantung berisi pasir halus, lalu dituangkan ke dalam bekas itu. Beliau mengoncang-goncangkan bekas itu, agar pasir itu jatuh ke bawah bekas dan memenuhi ruang-ruang kosong yang ada. Sekali lagi pensyarah itu bertanya, "Adakah bekas ini telah penuh?". maka serentak para pelajarnya menjawab, "Belum".

Sekali lagi beliau berkata, "Bagus, bagus sekali". Lalu buat sekelian kalinya, pensyarah itu mengambil sebotol air, lalu dituangkan ke dalam bekas itu sehingga penuh. Akhirnya pensyarah itu bertanya, "Tahukah kalian apa yang dimaksudkan dengan ilustrasi ini?".

Seorang mahasiswa dengan semangat mengangkat tangan dan berkata, "Maksudnya adalah, tidak peduli/kisah seberapa padat jadual kita, bila kita mahu berusaha sekuat tenaga, pasti kita mampu mengerjakannya".

Pensyarah itu lalu berkata, "Tidak, bukan itu yang dimaksudkan".

Maka pensyarah itu menjelaskan kepada semua pelajarnya, "Apa yang dimaksudkan oleh ilustrasi ini ialah apabila anda tidak memasukkan batu besar terlebih dahulu, sebaliknya didahului oleh pasir halus, maka sudah tentu anda tidak dapat memasukkan semua batu besar ke dalam bekas itu"

"Batu besar yang dimaksudkan di sini ialah perkara-perkara penting dalam hidup anda. Sedangkan pasir halus itu hanyalah perkara-perkara kecil dalam hidup anda. Apakah perkara-perkara penting dalam hidup anda? Anda boleh senaraikan sendiri. Dan apabila anda sudah tahu apakah perkara-perkara penting itu, maka isilah bekas hidup dan waktu anda dengan perkara tersebut terlebih dahulu. Namun, jika anda hanya mengisi penuh bekas hidup anda dengan perkara-perkara kecil, nescaya tiada lagi ruang untuk mengisi batu-batu besar itu".

Pengajaran:

1) Sesungguhnya hidup kita ini dipenuhi dengan pelbagai perkara, urusan, pekerjaan, amanah dan tanggungjawab. Justeru, penting untuk kita mengetahui mana yang penting dan perlu didahulukan.

2) Sesungguhnya bekas hidup kita ini terhad. Isilah ia dengan sebaik yang mungkin.

3) Pentingnya untuk kita memahami dan mengetahui ilmu berkaitan fiqh awlawiyyat (keutamaan) dalam urusan kehidupan seharian kita. Dengan memahami ilmu ini, kita mampu menyusun keutamaan hidup kita dengan baik.

4) 'Pasir-pasir' halus itu perlu juga untuk kita penuhi dalam bekas hidup kita. Jika tidak, maka akan wujud banyak kelompongan dan ruang-ruang kosong dalam bekas hidup kita. Sesungguhnya pasir-pasir halus itu menguatkan lagi kehidupan kita.

Saturday, April 2, 2011

KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH


Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.

Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.

Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!

Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.

Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]

Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.

Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Wallahua'lam.

Wednesday, March 23, 2011

Doa-Doa Selepas Selesai Membaca Tahiyyat Akhir, Sebelum Memberi Salam

Perkongsian ini diambil dari Nota FB seorang sahabat, Mohd Masri Mohd Ramli. Semoga ilmu yang dikongsi ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, dan semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada sahabat saya ini.
..................................................................................................................................


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال 

1)     Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah dajjal.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ 

2)     Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dosa dan hutang.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَمِلْتُ ، وَمِنْ شَرِّ مَا لَمْ أَعْمَلْ 

3)     Ya Allah! Aku berlindung daripada kejahatan yang telah aku lakukan, dan daripada kejahatan lakukan.


اللهم ! حاسبني حسابا يسيرا
(Allahumma Hasibni Hisabay Yasiraa)

4)     Ya Allah! Hitunglah aku dengan perhitungan yang mudah.


اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 

5)     Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku sendiri. Tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau, maka ampunilah diriku dengan keampunan yang Engkau miliki. Rahmatilah aku. Sesungguhnya Maha Pengampun dan Penyayang.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 

6)     Ya Allah! Aku memohon kepada Mu. Ya Allah Yang Maha Esa Yang… Yang Tidak Melahirkan dan Tidak Dilahirkan, dan tidak ada yang setara dengannya, Engkau ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Penyayang.


اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ ، وَمَا أَسْرَفْتُ ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي ، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ 

7)     Ya Allah! Ampunilah aku untuk apa yang telah aku (lakukan) di masa lalu dan apa yang akan aku (lakukan) di masa hadapan, apa yang aku (lakukan) secara tersembunyi dan apa yang aku (lakukan) terang-terangan, apa yang telah aku berlebih-lebihan, dan apa-apa yang lebih Engkau ketahui berbanding diriku sendiri. Engkaulah Yang Mendahului dan Engkaulah Yang Mengakhiri. Tiada yang berhak disembah melainkan Engkau.

Sumber:
Sifat Solat Nabi oleh Shaikh al-Albani

.................................................................................................................................

Untuk Teks lengkap, boleh rujuk di sini.

Wednesday, March 9, 2011

TAZKIRAH SUBUH DARI MASTAAF SIRI 3

Tarikh: 9 Mac 2011
Masa: 6.30 pagi
Oleh: Ustaz Abdul Aziz Mohd Salleh
Buku: Keanehan Orang Warak

Kisah 19: Tersalah berselawat, kedai terus ditutup

Pada suatu hari, ketika Imam Abu Hanifah sedang berada di kedai kainnya, datang seorang wanita untuk membeli kain. Wanita itu menginginkan kain sutera yang baik. Lalu Imam Abu Hanifah menyuruh seorang pekerjanya mengambil kain itu di tempat simpanan. Setelah mengambil kain itu, pekerjanya tadi menepuk-nepuk kain itu sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Imam Abu Hanifah yang melihat kejadian itu begitu tidak suka dengan perbuatan itu kerana telah meletakkan selawat ke atas Rasulullah SAW tidak kena pada tempatnya. Selawat dibaca untuk mendapat pahala dan syafaat daripada Rasulullah SAW,bukan untuk memikat atau melariskan perniagaan. Tegur Abu Hanifah kepada pekerjanya, "Kamu telah memuji-muji kain perniagaanku dengan membaca selawat ke atas Nabi"

Beliau memarahi pekerjanya dengan menyatakan bahawa hasil yang bakal diperolehi pada hari itu tidak bersih. Maka kata Imam Abu Hanifah, "Hari ini aku tidak akan berniaga". Maka beliau telah menutup kedainya pada hari itu hanya kerana pekerjanya salah meletakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.


Kisah 20: Berpantang makan kambing seumur kambing

Imam Abu Hanifah pernah berpantang makan kambing selama beberapa tahun. Sebabnya sangat remeh. Pada suatu hari, beliau mendapat kambing-kambing hasil rampasan telah dibawa masuk ke dalam kampungnya. Lalu kambing-kambing itu bercampur dengan kambing tempatan. Maka sukarlah untuk dibezakan yang mana satu kambing tempatan, dan yang mana satu kambing hasil rampasan. Apalagi, para peniaga yang tidak mengambil kisah tentang sumber bekalan kambing itu.

Imam Abu Hanifah telah bertanyakan kepada orang yang arif berkenaan kambing tentang kebiasaan jangka hayat seekor kambing. Lelaki itu menyatakan bahawa jangka hayat seekor kambing pada kebiasaannya adalah 7 tahun. Lalu bermula saat itu sehingga tujuh tahun yang berikutnya, Imam Abu Hanifah berpantang daipada makan kambing kerana mengelakkan daripada memakan makanan dari sumber yang syubhat.