PASTI merupakan satu aset yang
sangat bernilai buat PAS. Jika dirujuk kembali sejarah penubuhan PASTI, kita dapat melihat betapa harapan yang sangat
besar diletakkan dibahu PASTI untuk menjadi satu institusi pendidikan awal yang
mampu memberikan satu pendidikan berteraskan Islam yang baik dan sempurna. Kini
setelah lebih 25 tahun memberikan sumbangan pendidikan awal kepada para
kanak-kanak, PASTI bolehlah dianggap semakin matang dalam menghadapi cabaran
dan dugaan dalam menjayakan segala visi dan misi yang ditetapkan.
Hari ini, PASTI semakin mendapat
tempat di hati para ibubapa sebagai pusat pendidikan awal untuk para anak-anak
mereka. Dengan menerapkan sistem pendidikan yang memfokuskan kepada didikan
Islam disamping ilmu-ilmu yang lain, PASTI menjadi satu pilihan yang baik
kepada para ibubapa yang mendambankan pendidikan Islam yang baik untuk
anak-anak mereka. Mereka sanggup mengeluarkan sedikit wang semata-mata untuk
memastikan bahawa anak-anak kecil mereka mendapat pendidikan awal yang
menitikberatkan soal agama disamping ilmu-ilmu yang lain. Walaupun di sana, ada
sahaja pusat pendidikan awal seperti taska, tadika sekolah mahupun tadika Kemas
yang memberikan pendidikan secara percuma, namun keyakinan kepada kemampuan dan
kelebihan PASTI membuatkan mereka memilih PASTI sebagai pusat pendidikan awal
anak-anak mereka.
Jika selama ini, saya hanya
meyakini kelebihan PASTI melalui cakap-cakap orang ramai semata-mata,
Alhamdulillah, Allah SWT memberi peluang dan ruang kepada saya untuk mengenali
PASTI ini secara lebih dekat dan jelas. Peluang berkhidmat di Pejabat PASTI
Negeri Kelantan membuatkan saya begitu teruja dan bangga sekali dengan sistem
pendidikan PASTI yang ada pada hari ini. Pada suatu ketika, saya berkesempatan
untuk mengikuti secara lansung suasana pembelajaran di PASTI, dan saya begitu
terharu sekali melihat suasana pendidikan yang ada di PASTI. Menitis air mata
saya melihat dan mendengar kanak-kanak yang berumur 5 dan 6 tahun membaca dan
menghafal ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah SAW dengan betul
sebutannya dan penuh semangat sekali. Ini hanyalah salah satu contoh situasi
yang wujud di PASTI, bahkan lebih banyak lagi suasana pembelajaran yang wujud
yang mampu meyakinkan para ibubapa untuk memilih PASTI.
Hakikatnya, PASTI menghadapai
banyak cabaran dan dugaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada
rakyat Malaysia. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan PASTI tidak mempunyai
infrastruktur dan kemudahan yang lengkap, malah jauh sekali jika ingin dibandingkan
dengan tadika kerajaan ataupun pusat asuhan swasta yang lain. Namun semua itu
bukanlah satu halangan yang besar untuk PASTI, kerana PASTI ini bergerak dengan
roh Islam, yang dihiasai dengan semangat jihad yang tinggi dikalangan penggerak
PASTI. Pelbagai usaha telah dirangka dan dilaksanakan oleh pihak pentadbiran
PASTI, khususnya DPPP dan DPPN, dalam memastikan PASTI mampu berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan institusi pendidikan awal yang lain.
Namun begitu harus diingat,
amanah menggerakkan PASTI ini bukanlah terletak pada bahu pihak tertentu
sahaja, namun ia adalah tanggungjawab semua orang PAS, semua ahli PAS, semua
penyokong PAS. Ingatlah, PASTI ini ditubuhkan antara lainnya untuk memberikan
pendidikan awal berteraskan Islam kepada anak-anak orang PAS khasnya. Melihat
kepada kecelaruan sistem pendidikan awal yang ada di negara ini, yang gagal
memenuhi kehendak pendidikan agama masyarakat, PAS mengambil amanah besar ini
dengan menubuhkan PASTI bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan
agama yang selayaknya. Justeru, amanah besar ini sewajarnyalah dipikul secara
bersama oleh semua orang PAS dan ahli PAS.
Pertama, ahli PAS seharusnya
menjadi orang yang pertama yang menghantar anak-anak mereka ke PASTI. Namun
wujud situasi hari ini di mana ada dikalangan orang PAS juga pimpinan PAS,
khususnya yang berkemampuan, memilih pusat pendidikan awal seperti tadika kemas
mahupun tadika pra-sekolah yang menawarkan pendidikan percuma untuk menghantar
anak-anak mereka. Bukanlah berniat untuk mengatakan ianya salah, namun atas
semangat jamaah dan kebersamaan dalam menggerakkan institusi jamaah, saya
merasakan tindakan itu sangat kurang tepat sekali. Sedangkan PASTI memerlukan
satu sokongan yang kuat daripada para ahli PAS untuk terus bergerak dan maju
kehadapan.
Kedua, semua ahli PAS
seharusnya sama-sama mempromosikan PASTI kepada masyarakat awam. Janganlah
sekadar mengharapkan pihak pentadbiran PASTI, samaada peringkat pusat, negeri,
kawasan mahupun cawangan, untuk menggerakkan promosi PASTI ini. Apalah
salahnya, ruangkan sedikit masa anda di kedai kopi, di padang bola, mahupun di
majlis-majlis umum yang lain untuk menceritakan serba ringkas akan kelebihan
sistem pendidikan PASTI. Langkah ini sangatlah berkesan jika anda sendiri
menjadi contoh kepada mereka dengan menghantar anak-anak anda ke PASTI.
Yakinlah, agenda promosi yang ringkas dan menyeluruh ini mampu menarik
masyarakat awam untuk memilih PASTI.
Ketiga, semua orang PAS
seharusnya menyumbang sedikit sebanyak dalam membangunkan dan menambahbaik
kemudahan dan infrastruktur premis PASTI di cawangan masing-masing. Sekali
lagi saya nyatakan, PASTI jauh ketinggalan dari segi kemudahan dan
infrastruktur jika dibandingkan dengan tadika kemas mahupun pra-sekolah yang
mendapat peruntukan kewangan yang banyak daripada pihak kerajaan. Ingin sekali
saya menyeru kepada semua ahli PAS untuk sama-sama melakukan sedikit amal
jariah dengan memberikan sumbangan kepada pembangunan premis dan infrastuktur
PASTI. PAS melalui Dewan Pemuda tidak mampu untuk menyediakan semua premis
PASTI yang lengkap dan sempurna di setiap cawangan. Maka, kerjasama dan bantuan
dana daripada ahli PAS di setiap cawangan akan merancakkan lagi pembangunan
PASTI di setiap tempat.
Inilah TIGA sumbangan, sokongan
dan kerjasama yang saya rasakan sewajarnya diberikan oleh setiap orang PAS bagi
memastikan visi dan misi PASTI ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Hakikatnya, PASTI itu bukanlah milik pribadi para kepimpinan PAS ataupun pihak
tertentu sahaja, walhal ia adalah milik bersama setiap orang PAS. Maka menjadi
tanggungjawab dan amanah kepasa kita semua untuk sama-sama membantu PASTI pada
kadar kemampuan kita masing-masing. Dalam suasana yang semakin mencabar ini,
PASTI merupakan satu tempat yang terbaik untuk menyemai nilai-nilai asas Islam
kepada setiap kanak-kanak bagi memastikan kelak mereka mampu menghadapi fitnah
dunia yang semakin hebat ini. Akhirnya, PASTI Untuk Semua, PASTI Mendidik
Generasi Bertaqwa.
No comments:
Post a Comment