Alhamdulillah, selesai sudah
Majlis Pecah Tanah Fasa 1 Lebuhraya Rakyat yang bakal menghubungkan Kota Bharu-Kuala
Krai. Tanggal 7 Rejab 1433H bersamaan dengan 28 Mei 2012, akan menjadi satu
lagi siri sejarah baru bagi Negeri Kelantan. Tahniah dan syabas saya ucapkan
kepada Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan YAB Tok Guru Nik Aziz atas usaha dan
projek yang sangat bermakna ini. Projek ini menggambarkan satu keazaman dan
keyakinan pihak Kerajaan Negeri untuk menyediakan satu lagi kemudahan kepada
seluruh rakyat, walaupun terpaksa mencari dana sendiri.
Sebagai seorang rakyat Kelantan,
pertamanya saya berasa syukur di atas keberjayaan Majlis Pecah Tanah ini. Ia
adalah satu permulaan kepada sebuah harapan dan cita-cita yang amat besar dan
pasti sukar, namun apa yang pasti usaha ini bukan sahaja akan dipikul oleh
pihak Kerajaan Negeri semata-mata, tetapi ia juga akan didokong dan dibantu
oleh para rakyat negeri Kelantan sekalian. Ingatlah Kerajaan
Kelantan ditadbir oleh mereka yang dipilih oleh majoriti rakyat Kelantan, untuk
mewakili mereka dan untuk mengurustadbir negeri ini bagi pihak rakyat.
Justeru, usaha dan cita murni ini pasti akan mendapat sokongan dan dokongan
yang sewajarnya daripada semua rakyat.
Keduanya,
saya berasa sangat bangga dengan usaha dan langkah yang diambil pihak Kerajaan
Kelantan dalam merealisasikan pembinaan lebuhraya ini. Membuka ruang untuk
rakyat memberikan ‘Sumbangan Wakaf’ bagi mengumpul dana untuk pembinaan
lebuhraya ini merupakan satu langkah yang amat tepat dan baik sekali. Apa yang
pasti setiap rakyat yang menderma akan mendapat pahala amal jariah yang
berterusan selagimana lebuhraya ini digunakan. Dan langkah ini bukanlah
menggambarkan kelemahan dan ketidakmampuan Kerajaan Negeri Kelantan, sebaliknya
ia membuktikan kebijaksanaan dan kehebatan sebuah kerajaan yang dipimpin
berpaksikan Islam.
Hakikatnya,
usaha awal ke arah membina lebuhraya ini dilingkungi dengan pelbagai ujian dan
dugaan. Permohonan Kerajaan Kelantan untuk mendapatkan bantuan dana daripada kerajaan pusat dan memasukkan projek
ini dalam Rancangan Malaysia tidak diterima oleh Kerajaan Pusat. Namun, dengan
semangat yang tinggi dan keazaman untuk menyempurnakan kebajikan rakyat,
Kerajaan Kelantan beberapa bulan yang lalu mengumumkan akan melaksanakan projek
ini dengan dana sendiri. AllahuAkbar. Inilah ketetapan yang telah ditaqdirkan
oleh Allah. Siapa tahu, segala kekecewaan yang lalu sebenarnya merupakan pintu
kepada satu kejayaan yang besar kelak.
Sehingga
kini, setelah berjayanya Majlis Pecah Tanah Fasa 1 Lebuhraya Rakyat Kota
Bharu-Kuala Krai ini, masih ada lagi suara-suara sumbang dan sombong yang cuba
menafikan kemampuan Kerajaan Kelantan dan Rakyat Kelantan untuk membina
lebuhraya ini. Apa yang mendukacitakan, suara-suara itu datangnya daripada
anak-anak Kelantan sendiri. Sebenarnya mereka sangat dengki dengan usaha murni
ini. Mereka harus ingat, ini adalah Lebuhraya Rakyat. Bilamana mereka mencela,
mencaci dan menghina usaha membina lebuhraya ini, mereka bukan sahaja menghina
Kerajaan Kelantan, tetapi apa yang lebih besar, mereka sebenarnya menghina
Rakyat Kelantan. Mereka adalah golongan yang kecewa kerana tidak dipilih oleh
rakyat untuk mentadbir negeri ini.
Akhirnya,
suka sekali ingin saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan untuk mengambil
peluang yang besar ini untuk sama-sama menyumbangkan derma wakaf bagi sama-sama
merealisasikan lebuhraya ini. InsyaAllah, keberkatan daripada sumbangan rakyat
jelata akan menjadikan segala usaha membina lebuhraya ini dipermudahkan dan
diberkati oleh Allah. Dan ingatlah, sumbangan anda adalah satu jariah yang amat
besar sekali dan akan mendapat pahala yang berterusan kelak bilamana lebuhraya
ini siap dan digunakan.
No comments:
Post a Comment