Saat ni ramai di kalangan pendokong mahupun penyokong Parti
Islam Semalaysia (PAS) begitu teruja dengan hasrat dan komitmen yang dinyatakan
oleh Pakatan Rakyat untuk mengambilalih Putrajaya daripada kepimpinan UMNO/BN
melalui PRU-13 yang akan datang. Bahkan ramai di kalangan mereka yang turut
sama menyumbang dan bekerja bagi memastikan hasrat bersama ini mampu dicapai
dengan penuh kejayaan.
Ya, bermula dari Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya, Peringkat
Malaysia, yang diadakan di Stadium Darul Aman pada 1 Jun yang lepas, dan
diikuti pula dengan siri-siri himpunan peringkat negeri, semangat dan motivasi
ahli dan penyokong PR, terutamanya ahli dan penyokong PAS begitu membara dan
tinggi sekali. Hakikatnya, semangat inilah yang menjadi pemangkin kepada usaha
dan gerak kerja yang tersusun dan berkesan, bagi memastikan Putrajaya bakal
mendapat kepimpinan yang baru, yang lebih ikhlas, adil dan telus.
Hasrat Ke Putrajaya Sudah Ditanam Sejak Sekian Lama
Sesungguhnya perjalanan ke Putrajaya itu bukanlah satu
perjalanan yang mudah. Ia adalah satu perjalanan yang jauh, penuh berliku,
dihiasi dengan dugaan dan cabaran. Perjalanan ini memerlukan satu persediaan dan
bekalan yang rapi, tersusun dan berkesan. Tanpa persediaan dan bekalan ini,
sudah pasti ramai yang akan menarik diri, ramai yang akan mengubah laluan,
ramai yang akan berhenti di separuh perjalan dan mungkin ada yang akan
tiba-tiba menjadi penghalang kepada perjalanan ini.
Sedarkah kalian, perjalanan ke Putrajaya ini bukanlah bermula
pada tahun ini, bukanlah bermula apabila dilancarkan program Himpunan Hijau Ke
Putrajaya. Ketahuilah, hasrat kepada permulaan perjalanan ini adalah apabila
tertubuhnya PAS. Di situlah bermulanya hasrat ini. Sebagaimana kita ketahui,
PAS adalah sebuah Jemaah Islam, yang mengambil pendekatan Tarbiyah, Dakwah dan
Siasah dalam gerak kerja dan perjalanan Jemaah mereka. Maka bilamana di sana
ada agenda Siasah, sudah pasti di sana PAS meletakkan satu cita-cita yang murni
untuk mentadbir negara ini dengan Islam. Atas faktor inilah, PAS menyertai
pilihanraya, sebagai satu wadah/pentas bagi mendapatkan tampuk pemerintahan,
samaada peringkat negeri dan negara, bagi menegakkan Agama Allah SWT, yang
diwarisi oleh Nabi Muhammad SAW.
PAS sememangnya berpandangan jauh. Hasrat ke Putrajaya ini
sudah lama menjadi agenda PAS. Kerana PAS melihat, dalam waqie Malaysia,
menguasai Putrajaya itu adalah suatu KEWAJIPAN bagi menyempurnakan KEWAJIPAN
yang lebih besar, iaitu menegakkan Agama Allah SWT di muka bumi Malaysia ini.
Walaupun hasrat ke Putrajaya ini tidak dinyatakan secara jelas dan tersusun
sebagaimana yang dilakukan pada hari ini bersama rakan-rakan dalam PR,
hakikatnya PAS sememangnya telah memulakan langkah awal pada waktu itu.
Langkah Bermula Dengan Tarbiyah
TARBIYAH. Inilah yang PAS lakukan. PAS menyedari dan memahami
bahawa perjalanan ke Putrajaya memerlukan penggerak yang benar-benar ikhlas,
faham dan bersedia untuk menggerakkan bahtera PAS ini ke Putrajaya. Inilah yang
PAS belajar dan mengambil ikhtibar daripada Sunnah Rasulullah SAW dan apa yang
dilalui oleh para sahabat dan pejuang Agama Allah yang terdahulu. Sebagaimana
Rasulullah SAW ditarbiyah oleh Allah SWT untuk memikul amanah kerasulan yang
begitu berat itu, dan juga sebagaimana Rasulullah SAW mentarbiyah para sahabat
untuk menjadi penolong dan pejuang Agama Allah, yang akan bersama-sama Baginda
SAW memperjuangkan Islam, PAS meletakkan agenda tarbiyah sebagai asas dan
tunjang kepada perjalanan yang jauh ini.
Para kepimpinan dan ahli dididik dan dilatih melalui pelbagai
pendekatan yang bersesuaian dengan waqie setempat. Ahli-ahli sentiasa
dititikberatkan dengan Aqidah Perjuangan yang benar lagi suci, diajarkan untuk
mengambilberat akan Ibadah kepada Allah SWT, diasuh untuk berakhlak dengan
akhlak Islam dan diajarkan dengan beberapa perkara lagi yang sangat penting
dalam melahirkan kader-kader dakwah dan abnaul harakah yang ikhlas dan faham
dengan hasrat yang dibawa oleh PAS ini. Program-program pembentukan seperti
usrah, tamrin, liqa’, kuliah haraki, daurah, qiamullail, katibah dan
seumpamanya banyak sekali dijalankan bagi memastikan ahli-ahli yang dilahirkan
oleh PAS adalah ahli-ahli yang benar-benar berkualiti dan terbukti kefahaman
mereka.
Dakwah Melengkapi Pakej Tarbiyah
Dalam usaha bagi memastikan hasil tarbiyah ini dapat dilihat
dan dinilai dalam tempoh yang ringkas, PAS juga meletakkan agenda DAKWAH
sebagai agenda bersama yang perlu dititikberatkan selain daripada agenda
Tarbiyah dan Siasah. Melalui gerak kerja dakwah inilah, ahli-ahli dilatih dan
dibentuk untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat awam. Ahli-ahli PAS menyeru
masyarakat kepada perbuatan/amal yang baik, dan mencegah masyarakat daripada
melakukan kemungkaran. Keseimbangan di antara gerak kerja tarbiyah dan dakwah
ini adalah satu perkara yang sangat penting yang telah dilaksanakan oleh PAS,
kerana PAS sedar bahawa berasaskan dua agenda inilah, agenda Siasah itu dapat
dicapai dengan jayanya apabila tiba masanya kelak.
Fahamlah kita, apa yang dilaksanakan oleh PAS ini adalah
selari dengan apa yang dilalui dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah
SAW pada awal kerasulan Baginda, Baginda melaksanakan agenda tarbiyah dan
dakwah secara bersama. Ketika mendidik dan mentarbiyah kaum kerabat yang
terdekat dan para sahabat untuk menjadi penggerak dakwah bersama Baginda SAW,
Rasulullah SAW juga tidak sedikit pun meninggalkan kerja dakwah, yang
digerakkan bersama-sama dengan para pengikut Baginda SAW. Ketahuilah oleh kita
semua bahawa Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW bukan sekadar sebagai
seorang murabbi dan daie semata-mata, bahkan juga sebagai seorang pemimpin yang
akan memimpin ummat akhir zaman ini. Bermakna, Rasulullah SAW menyedari bahawa
kelak Baginda SAW akan menjadi pemimpin kepada sebuah negara dan empayar Islam,
yang akan melaksanakan hukum Allah SWT di dalam pentadbirannya.
Inilah kaedah yang sebenar-benarnya yang telah diajarkan oleh
Allah SWT kepada ummat manusia, proses dan jalan kepada kepimpinan Islam dan
pembentukan sebuah negara Islam, yang dibawa melalui Rasulullah SAW. Untuk
memimpin sebuah negara, TARBIYAH itu penting dan menjadi ASAS/TUNJANG kepada
pembentukan para penggerak yang akan menerajui tampuk kepimpinan kelak. DAKWAH
juga perlu dilaksanakan seiring dengan gerak kerja tarbiyah, bagi memastikan
masyarakat awam memahami Islam dan beramal dengan Islam. Akhirnya, bilamana
sampai masanya untuk mentadbir sebuah negara, maka di sana sudah tersedia
individu-individu yang akan mengambil amanah kepimpinan ini, dan masyarakat
awam juga menyokong dan mendokong kepimpinan Islam ini.
Tarbiyah dan Dakwah Membantu Kejayaan Agenda Siasah
Hari ini, saat ramai yang memberikan fokus kepada gerak kerja
siasah, ada di sana individu-individu yang mengingatkan akan pentingnya
TARBIYAH, memuhasabah para penggerak akan keperluan untuk meneruskan gerak
kerja tarbiyah, walaupun pada waktu ini mungkin fokus lebih diberikan kepada
gerak kerja siasah. Inilah indahnya PAS. Sebuah organisasi yang bergerak dengan
tersusun rapi. Masing-masing memahami amanah dan tanggungjawab individu dan
tanggungjawab bersama. Ada pihak yang berperanan mengingatkan ahli-hali yang
lain akan BEKALAN yang perlu sentiasa diisi, agar segala dugaan, cabaran dan
ujian sepanjang perjalanan ke Putrajaya itu mampu ditangani dan di atasi
bersama. Apalagi, InsyaAllah, jika ditaqdirkan Putrajaya itu menjadi amanah PAS,
maka di sana PAS telah bersedia UNTUK MENGISI KEMENANGAN ini, dengan ahli-ahli
yang komited dan faham yang akan menjadi tunjang kepada kepimpinan Islam yang
baik kelak.
Inilah sejarah panjang yang perlu semua penggerak dan
pendokong PAS faham. PAS sebenarnya telah mempersiapkan bahtera dan para
pejuangnya sejak dahulu lagi. Kini, laungan ke Putrajaya sudah kuat bergema.
Saat ini, segala gerak kerja TARBIYAH dan DAKWAH yang PAS laksanakan selama ini
akan menjadi SENJATA dan BEKALAN penting dalam merealisasikan hasrat untuk merampas
Putrajaya daripada kepimpinan UMNO/BN yang zalim. Apa yang diharapkan sekarang
adalah, para penggerak, pendokong dan ahli PAS dapat melaksanakan apa yang
diajarkan dan dididik selama ini. Justeru, SEDARLAH dan FAHAMLAH kita semua
bahawa, GERAK KERJA TARBIYAH itu tidak seharusnya ditinggalkan/dilupakan pada
waktu ini, di saat semua pihak memberi fokus kepada hasrat menuju ke Putrajaya.
Inilah bekalan kita bersama.
InsyaAllah, melalui tarbiyah inilah, semua penggerak mampu
kembali menyucikan diri, Ibadah mampu dipertingkatkan, diri sentiasa dihiasi
dengan akhlak yang baik dan terpuji, yang leka mampu dikejutkan, yang lupa
mampu diingatkan, yang jauh mampu dirapatkan, yang terputus mampu disambung,
yang bergaduh mampu didamaikan. Apabila semua hati-hati dapat disatukan dan
digerakkan dengan fikrah yang sama, InsyaAllah, Putrajaya itu mamapu kita
tawan, bahkan kita mampu membuktikan kelak, bahawa mentadbir bumi ini dengan
Islam adalah cara yang terbaik. Akhirnya, marilah sama-sama kita menghayati
firman Allah SWT ddi dalam surat An-Nasr:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ
وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ
أَفْوَاجًا
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
“Apabila datang pertolongan Allah dan
kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),
Dan engkau
melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu
dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”
(An-Nasr: 1-3)
Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah (Insan Rabbani),
23 Zulkaedah 1433H, 2.41pm
No comments:
Post a Comment