Alhamdulillah, Himpunan Ke Putrajaya yang diadakan di Stadium
Darul Aman pada 1 Jun 2012, telah berlansung dengan jayanya. Kehadiran yang
saya jangkakan melebihi 100,000 ribu orang sudah cukup untuk menggambarkan
betapa para ahli dan penyokong PAS sudah bersedia untuk bersama para pimpinan
parti menyusun barisan, mengatur strategi dan mengorak langkah dengan penuh
bersemangat sekali untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya dari BN yang
sudah tidak relevan lagi untuk mentadbir negara ini.
Himpunan ini berjaya menghimpunkan pelbagai kelompok ahli dan
penyokong PAS, samaada tua mahupun muda termasuklah juga ahli-ahli non-Muslim
dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang turut bersama-sama menyatakan
komitmen untuk menyokong dan mendokong aspirasi PAS dan PR untuk mengambilailh
tampuk pentadbiran Putrajaya. Himpunan ini adalah antara himpunan terbesar yang
berjaya dilakukan oleh PAS, bahkan inilah himpunan paling besar yang pernah
diadakan di Kedah. Sudah pasti ia menjadi satu motivasi dan peransang untuk PAS
Kedah khususnya, dalam menghadapi tentangan, fitnah dan serangan daripada
UMNO/BN serta konco-konco mereka.
Jelas, perhimpunan ini mampu membangkitkan semangat dan
keazaman semua yang hadir untuk terus thabat dan istiqamah dengan perjuangan
Islam yang dibawa oleh PAS. Pidato-pidato serta ucapan-ucapan yang diberikan
oleh para pimpinan begitu mengujakan dan penuh bersemangat sekali. Apa
tidaknya, setiap pidato pasti disambut dengan laungan ‘Allahuakbar’ yang
bergema dan juga kibaran bendera PAS, menandakan sokongan dan kebersamaan semua
untuk maju ke Putrajaya. Kini Putrajaya menjadi satu cita-cita yang harus
diusahakan. Sudah lama Putrajaya menangis kerana ditadbir oleh tangan-tangan
yang banyak melakukan kerosakan dan kemungkaran di bumi Malaysia ini.
Akhirnya ucapan dan amanat daripada YB Dato’ Sri Presiden
menjadi penutup kepada deretan pidato yang disampaikan pada hari itu. Ucapan
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang lain daripada yang lain. Di saat semua yang
lain memberi fokus kepada membangkitkan semangat dan keazaman semua yang hadir,
Tuan Guru seperti biasa, dengan penuh ketenangan dan keikhlasan, mengajak semua
ahli dan para penyokong PAS agar melakukan persediaan daripada segenap perkara.
Namun apa yang lebih ditekankan oleh Tuan Guru ialah berkenaan dengan persedian
rohani serta keimanan dan hubungan para pejuang kepada Allah SWT.
Lalu dibawakan satu pesanan yang pernah
diucapkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab r.a kepada panglima tentera
Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Parsi sebelum meletusnya
Perang al-Qadisiyyah:
فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى
الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب،
وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش
أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا
بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم
الفضل علينا في القوة
“Sesungguhnya
aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa
kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa
adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam
peperangan. Aku perintahkan engkau
dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada
daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat
musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti
ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya
orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh
mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki
kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding
jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama
berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga
turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka
lebih kuat dan hebat daripada kita”
Inilah asas perjuangan yang ingin dibawa oleh PAS dalam
merempuh jalan ke Putrajaya. PAS mahukan agar keberjayaan berada di Putrajaya
kelak, InsyaAllah, adalah hasil kebergantungan dan kekuatan hubungan rohani
para ahli dan penyokongnya dengan Allah SWT. Kerana, kemenangan yang
dikurniakan oleh Allah SWT, apabila berpaksikan kepada Ubudiyyah kepada Allah
SWT, sudah pasti kemenangan itu adalah satu nikmat dan rahmat, bukannya satu
musibah atau mehnah. Dan sudah pastilah juga, penyakit-penyakit dan barah-barah
yang melanda UMNO/BN semasa memegang tampuk pemerintahan akan terhindar
daripada menjangkiti hati-hati para pejuang PAS apabila mereka memerintah
kelak.
Inilah persedian yang paling penting dan besar sekali. Tiada
gunanya jika kita bermegah dengan persediaan fizikal, kekuatan tenaga kerja
mahupun kehebatan gerak kerja dan perancangan, jika akhirnya hubungan dan
kebergantungan kita dengan Allah SWT adalah sangat jauh sekali. Maka jika ini
yang berlaku, tiada bezanya kita dengan lawan kita. Harus diingat, cita-cita
kita bukan semata-mata merampas tampuk pemerintahan di Putrajaya, tetapi apa
yang lebih utama ialah kita ingin mengembalikan ummah dan masyarakat ini kepada
Islam yang sebenar. Kita ingin melaksanakan program-program dan perojek-projek
yang bukan sahaja bersifat untuk kemajuan dan kesenangan duniawi, tetapi untuk
kebahagian semua di akhirat kelak.
Dan amanah mengisi kemenangan itu adalah tersangat sukar dan
berat daripada usaha mendapatkan Putrajaya itu sendiri. Jika ketika itu, iman
para pendokong PAS lemah, maka tidak mustahil, penyakit yang melanda UMNO/BN
akan diwarisi oleh kita apabila memerintah negara kelak. Perebutan kuasa,
rasuah, salahguna kuasa, cantas-mencantas dan banyak lagi adalah antara
beberapa penyakit yang mungkin akan merebak jika tiada aqidah dan keimanan yang
mantap.
Sebab itulah, saya merasakan apa yang disampaikan oleh Tuan
guru Presiden adalah satu muhasabah dan peringatan kepada kita semua, agar
terus mempertingkatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Bantuan dan kemenangan
daripada Allah SWT adalah sesuatu yang pasti bagi hamba-hambanya yang sanggup
berkorban dan berjihad menolong Agama Allah SWT. Jadi apa lagi yang mampu kita
lakukan selain bergantung kepada Allah SWT. Kekuatan fizikal kita sangat lemah
berbanding mereka. Kekuatan kewangan kita sangat lemah berbanding mereka.
Kekuatan material kita sangat lemah berbanding mereka. Tetapi kita ada Allah
SWT, pemilik alam ini, pemilik segala kekuatan yang mereka ada itu. Bergantung haraplah
hanya kepada Allah SWT.
Ayuh, sama-sama kita tingkatkan usaha dan pengorbanan kita
untuk ke Putrajaya. Sesungguhnya Putrajaya semakin hampir. Buktikan dan
tunjukkan kepada masyarakat, Islam mampu dan boleh memerintah, dengan penuh
keadilan dan berkebajikan. InsyaAllah, hadir kita ke Putrajaya kelak dengan
iman. Negara berkebajikan dan pemerintahan yang adil, berteraskan keimanan dan
tetaqwaan kepada Allah SWT menjadi tawaran kita. Hijau Ke Putrajaya. AllahuAkbar.
No comments:
Post a Comment