Detik Waktu

Wednesday, June 1, 2011

Semoga Allah SWT Kekalkan Kerajaan Islam Kelantan

Pilihanraya Umum ke-13 semakin hangat diperkatakan. Bukan sekadar oleh jentera-jentera parti yang bertanding, malahan masyarakat umum sendiri telah mula membicarakan dan mengambil cakna akan perkara ini. ‘Cakap-cakap kedai kopi’ tentang PRU 13 ini semakin hangat dan semakin mendebarkan. Pelbagai ramalan telah dikeluarkan mengenai tarikh PRU 13 ini. Ada yang mengatakan sebulan dari sekarang, iaitu pada bulan tujuh, ada yang mengatakan akhir tahun ini dan pelbagai lagi ramalan. Walaubagimanapun, hanya PM yang tahu akan tarikh keramat tersebut.

Hakikatnya, PRU pada kali ini lain dari yang sebelumnya. Kehangatannya lebih dirasai, malah PRU 13 ini begitu mendapat perhatian semua pihak kerana PRU 13 ini bakal menentukan hala tuju banyak perkara. PRU 13 hadir selepas Barisan Nasional (BN) hilang hak memerintah di 4 buah negeri (Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak) disamping satu negeri, iaitu Kelantan yang terus dipegang oleh PAS yang mewakili Pakatan Rakyat. Justeru PRU 13 pada kali ini pasti akan menjadi kayu ukur sejauh mana sokongan rakyat kepada BN dan juga PR, disamping suasana Negara 3 tahun kebelakangan ini yang dihiasai oleh pelbagi isu, peristiwa dan sejarah yang pasti menjadi pertimbangan para pengundi nanti.

Pada PRU 12 yang lepas, Barisan Nasional telah menunjukkan kesungguhan untuk merampas Kelantan yang telah diperintah oleh PAS sejak tahun 1990. Namun, atas kesilapan percaturan dan strategi, dibantu oleh kesungguhan PAS mempertahankan Kelantan, BN gagal untuk merampas Kelantan, malahan kehilangan banyak kerusi DUN dan Parlimen pada PRU tersebut. Pada kali ini, sekali lagi BN telah merancang satu strategi besar untuk merampas Kelantan daripada PAS. Mengambil pendekatan yang telah digunakan oleh BN Terengganu pada PRU 11 2004, yang berjaya merampas semula Negeri Terengganu daripada PAS, BN Kelantan pada kali ini telah melancarkan satu program iaitu Gelombang Merah, yang dikatakan mampu menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan.

Gelombang Merah diterajui oleh individu-individu yang sama sebagaimana Gelombang Biru Terengganu 2004, yang telah mengembalikan semula Terengganu ke bawah pemerintahan BN selepas gagal mempertahankannya pada tahun 1999. Tidak dapat dinafikan agenda Gelombang Merah ini ada aura dan kehebatannya sendiri. Gelombang Merah ini bertujuan menarik sokongan para pengundi Kelantan, terutamanya sokongan orang muda, untuk mengundi BN pada PRU 13 nanti. Hakikatnya, Gelombang Merah akan mempertaruhkan kekuatan ‘gula-gula PRU’ atau ‘wang/kebendaan’ bagi mengkaburi mata penduduk Kelantan. Inilah agenda besar yang telah dirancang oleh BN bagi menjatuhkan dan menumbangkan Kerajaan Islam Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Namun begitu, rakyak Kelantan tidak seharusnya panic dan terpengaruh dengan agenda Gelombang Merah ini. Bukan sahaja Gelombang Merah, bahkan apa sahaja strategi yang dilakukan oleh BN untuk merampas Kelantan tidak sepatutnya menarik hati dan undi rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan perlulah menyedari bahawa menukar Kerajaan Negeri Kelantan yang sedia ada di bawah pemerintahan PAS, adalah seumpama menggadaikan maruah dan nilai suci agama Islam itu sendiri. Ya, tidak salah untuk penulis menganggap dan memperkatakan sedemikian, kerana itulah hakikatnya. Hari ini, kita telah melihat dengan sendiri bagaimana Kerajaan Kelantan ditadbir dengan penuh amanah dan baik sekali oleh PAS disamping jauh sekali dari isu ketidaktelusan dan penyelewengan dalam pentadbiran.

Sedarlah wahai rakyat Kelantan, mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan yang sedia ada ini adalah satu usaha besar dalam mempertahankan kedaulatan dan kesucian Agama Islam itu sendiri. Sejarah telah membuktikan dan mengajarkan kita bahawa Negeri Kelantan dalam tempoh 20 tahun ini adalah tersangat jauh lebih baik berbanding pada zaman pemerintahan BN dulu. Jangan sekadar dinilai pada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi nilailah seadil-adilnya pada keseimbangan pembangunan antara fizikal dan rohani yang telah dibawa dan ditunjukkan oelh pentadbiran Islam Kelantan pada ketika ini. Ya, Kerajaan Kelantan tidak pernah menafikan bahawa Kelantan sedikit ketingalan berbanding dengan negeri-negeri lain dari aspek pembangunan fizikal, namun janganlah juga dilupai akan kehebatan Kelantan dari aspek rohani dan agamanya.

Penulis amat yakin dan percaya bahawa rakyat Kelantan, yang penuh dengan asuhan dan didikan agama, mampu membuat penilaian yang seadil-adilnya. Penulis juga percaya, denga suasana dunia yang tidak stabil dan kurang tenteram ini, ditambah pula dengan peningkatan kadar jenayah, gejala social, isu rasuah, isu kezaliman dan banyak lagi isu-isu yang lain, rakyat Kelantan memerlukan sebuah Kerajaan yang mampu membimbing dan memimpin mereka untuk terus mara dan maju kehadan dalam acuan ajaran Islam yang sebenar. Dan penulis melihat, ciri-ciri itu hanya ada pada PAS, sebagai sebuah parti tarbiah, dakwah dan siasah, yang meletakkan Islam sebagai panduan dalam setiap urusan dan geraka kerja tadbir mereka. Inilah yang diperlukan oleh rakyat pada masa sekarang.

Ya, tidak dapat dinafikan, kekuatan kewangan juga menjadi sesuatu yang diingankan oleh rakyat Kelantan. Itu semua bukanlah satu masalah kepada Kerajaan Islam Kelantan di bawah pemerintahan PAS, jika semua rakyat bersama-sama dengan Kerajaan Kelantan dalam menuntut hak mereka yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat. Kemiskinan Kerajaan Kelantan bukanlah disebabkan oleh ketidakcekapan pengurusan kerajaan, sebaliknya hak kewangan mereka tekah disekat dan dizalimi oleh orang lain. Justeru, rakyat Kelantan perlu sama-sama bangkit dan bersatu tenaga dengan Kerajaan Kelantan dalam menuntut hak Royalti yang telah dinafikan sejak sekalian lamanya. InsyaAllah, jika hak ini dapat dituntut, rakyat Kelantan bakal merasai satu pembangunan dalam acuan Islam, yang lebih dari negeri lain.

Akhirnya, penulis ingin menyeru dan mengajak semua rakyat Kelantan, terutamanya golongan muda untuk sama-sama mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan yang ada ini. Kita semua perlu meyedari dan meyakini bahawa hanya Islam yang mampu menjamin kesejahteraan dan keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Semoga Allah merahmati semua rakyat Kelantan dan membantu mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan ini.

1 comment: