Detik Waktu

Thursday, May 12, 2011

KITA ADALAH SAUDARA RASULULLAH SAW

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bagaimana iman kita pada saat ini? Semoga ia berada pada tahap terbaik dan sentiasa diperbaharui dengan kalimah ‘La Ilaha Illallah’.

Bagaimana diri kalian pada detik ini? Semoga kesihatan, kedamaian dan ketenagan menghiasi segenap aspek diri anda. Ingatlah wahai diri yang hina, diri kita ini adalah milik Allah SWT, ia hanyalah pinjaman sementara untuk kita merasai nikmat kehidupan di dunia ini. Kelak ia akan dikembalikan kepada Si Pemilik mutlaknya.

Wahai sahabat, bertaubatlah kita kepada Allah SWT. Sentiasalah dan perbanyakkanlah taubat dan ucapan Istighfar kita kepada Allah SWT. Ya, kita ini adalah hambaNya yang lemah, jahil lagi mudah pelupa. Kita banyak melakukan khilaf dan maksiat kepada Allah, sama ada sedar atau tidak, sama ada secara terang atau sembunyi. Semoga kelak kita kembali kepada Allah SWT dalam keadaan bersih suci sebagaimana kita dilahirkan ke dunia ini. Inilah yang sepatutnya.

Alhamdulillah, pagi ini apabila aku membuka FB, aku membaca satu entri link blog salah seorang sahabatku. Beliau berkongsikan tentang pentingnya kita berpagi-pagi dalam melakukan kebaikan. Dalam entri tersebut beliau berkongsi kisah hidup dua orang tokoh Islam, iaitu Hamka dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sentiasa mengisi waktu pagi mereka dengan menulis kitab dan juga memberi tazkirah ringkas selepas Solat Subuh. Subhanallah. Aku begitu terkesan untuk sama-sama dengan dua tokoh ini menggunakan ruang lapang waktu pagi ini untuk sama-sama berkongsi dengan kalian semua.

Pagi ini aku ingin membawa kalian semua kembali merenungi hakikat diri kita ini sebagai seorang Muslim lagi Mukmin. Mengenali hubungan kita dengan ketua sekalian manusia, guru sekalian pendidik, pemimpin sekalian ummat dan kekasih hati Rabbul Jalil. Aku ingin mengajak kalian merenung kembali ikatan kita dengan Rasulullah SAW. Menginsafi kembali akan rasa cinta dan kasihnya Baginda Rasulullah SAW kepada kita semua. Menghayati akan kerinduan yang mendalam Baginda Rasulullah SAW kepada kita semua.

Sahabat-sahabat sekalian, pernahkah kita bertanya kepada diri kita, siapakah kita pada pandangan Rasulullah SAW? Pernahkah kita bertanya apakah hubungan kita dengan Rasulullah SAW? Adakah kita ini hanyalah sekadar ummat akhir zaman, yang sekadar mewarisi Islam yang telah disampaikan dan disebarkan oleh Baginda Rasulullah SAW dahulu? Adakah kita ini hanyalah manusia biasa, yang hanya mengenali tubuh badan dan diri Baginda melalui sirah-sirah dan juga penceritaan di dalam Al-Quran?

Inilah antara persolan yang mungkin pernah terlintas di dalam fikiran kita semua. Aku ingin membawa satu kisah daripada hadis yang mampu merungkai dan menjelaskan segala persoalan di atas. Kisah yang berlaku terhadap Rasulullah SAW yang disaksikan oleh para sahabat baginda. Kisah yang tersangat menyentuh hati dan meruntuhkan jiwa semua manusia yang benar-benar mencintai baginda Rasulullah SAW.



Ana teringat satu kisah ketika Rasulullah dalam perjalanan pulang dari Haji Wida’, baginda Rasulullah SAW menangis. Sahabat pun bertanya: ”Kenapa kamu menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Aku merindui saudaraku”, Sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudaramu wahai Rasulullah?”,Baginda menjawab: ”Kamu semua bukan saudaraku tetapi sahabatku. Saudaraku ialah mereka yang datang selepasku, beriman kepadaku walaupun tidak pernah melihatku. Aku merindui mereka, kerana itulah aku menangis”

Allahuakbar! Subhanallah!

Inilah hakikat sebenar kita pada hati Rasulullah SAW. Kita ini adalah SAUDARA Baginda SAW. Sedarlah wahai sahabat-sahabat sekalian, apabila kita beriman kepada Rasulullah SAW, yang tubuh badannya tidak pernah kita lihat, bau harum tubuhnya tidak pernah kita cium, kejernihan wajahnya yang tidak pernah kita tatap, kita adalah saudara baginda. Inilah hakikat yang telah diakui sendiri oleh Rasulullah SAW. Apatah lagi baginda begitu merindui kita semua. Sedangkan pada ketika kisah ini ditakdirkan Allah SWT berlaku, kita masih lagi belum wujud di dunia ini.

Ya Allah, bagaimana mungkin Rasulullah SAW menangis, menyatakan rasa rindu Baginda kepada kami semua, saudara baginda, sedangkan kami semua masih belum lahir lagi ke dunia ini pada saat itu. Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan Mengetahu di atas semua perkara. Ya Allah, Rasulullah SAW telah mengetahui bahawa selepas kewafatan baginda akan lahir ummat manusia yang akan beriman kepadanya sedangkan mereka tidak pernah melihat tubuh badan baginda.

Wahai Sahabat-sahabat sekalian,

Tidakkah kita semua ini adalah saudara baginda Rasulullah SAW? Tidakkah kita semua ini adalah mereka yang dirindui oleh baginda Rasulullah SAW sehinggakan baginda menangis kerana bagitu merindui kita semua? Tidakkah kita semua ini adalah manusia yang beriman kepada Rasulullah SAW? Justeru, adakah kita hanya akan membiarkan rindu Rasulullah SAW itu tidak berbalas, tangisan baginda itu tidak kita hargai? Ayuh teman-teman, kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah SAW, sebagai menyatakan rasa rindu kita kepada baginda, sebagai tanda betapa cintanya dan kasihnya kita kepada baginda SAW.

Ya, kita tidak pernah berpeluang untuk bertemu dengan baginda SAW di dunia ini sebagimana para sahabat baginda sekalian. Namun, kita meyakini dengan sesungguhnya akan kerasulan baginda SAW. Dan kita meyakini bahawa kelak kita kan berjumpa, berdamping dan bermesra dengan Rasulullah SAW di dalam syurga Allah, InsyaAllah. Kita membuktikan rasa kasih kita dengan melaksanakan segala sunnah baginda SAW, dengan mewarisi perjuangan jihad baginda SAW dan dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT. Yakinlah sahabat-sahabat sekalian, dua orang yang bersaudara itu pasti akan dipertemukan kelak oleh Allah SWT dalam suasana yang penuh kedamaian dan tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT.



Allahumma Solli ‘Ala Muhammad, Allahumma Solli ‘Alaihi Wasallim.

1 comment: