Detik Waktu

Monday, November 1, 2010

Aku belum lagi Murabbi!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala puji dan syukur buat Allah Ar-Rahman Ar-Rahim, dengan segala nikmat dan kurnian yang diberikan kepada kita semua.

1 November 2010. Dua bulan dari sekarang akan masuk tahun baru masihi, 2011. Dari sehari ke sehari, umur kita semakin bertambah, ajal semakin hampir. Kata Ust Nik Ibrahim dalam kuliah subuh di MASTAAF pagi sabtu lepas, semakin meningkat umur, semakin banyak amanah. Semakin dekat ajal, semakin singkat masa untuk kita mempersiapkan diri kita bertemu dengan Allah SWT. Jadi bersedialah!

Pasca Ijtima' Tarbawi!

Bagi mereka yang sempat dan berpeluang menghadirkan diri ke Ijtima' Tarbawi yang lepas, tentu banyak manfaat dan ilmu yang diperolehi. Tentu ada perubahan dalam diri masing-masing. Menjadi lebih bersemangat untuk ditarbiah dan mentarbiah. Walaupun tidak berkesempatan untuk menghadirkan diri, namun aku berpeluang juga untuk mendengar segala pengisian dan taujihat yang disampaikan oleh para Murabbi melalui video-video yang dimuat turun dari internet. Melihat video sahaja sudah merasai ruh-ruh pengisian yang diberikan, apatah lagi menghadirkan diri ke sana. Beruntung mereka semua!

Menjadi kebiasaan, selepas berlansung atau berlaku satu program, acara atau peristiwa besar, ramai yang akan memperkatakan dan membicarakan pasca program tersebut. Ada yang membicarakan bentuk tindakan lanjutan yang perlu diambil, ada yang membicarakan tentang kenangan dan pengalaman menyertai dan terlibat dalam program tersebut dan ada juga yang terkesan terus dengan program sehinggakan term-term yang berkaitan dengan program tersebut menjadi ungkapan harian mereka. Samalah dengan Ijtima' Tarbawi. Term-term seperti tarbiah, murabbi, mutarabbi, usrah, ulama', pemuda, kepemudaan dan sebagainya menjadi begitu popular.

Aku sendiri, secara tidak lansung, terkena dengan perkara-perkara tersebut. Apa tidaknya, ada yang menggelarkan aku dengan panggilan Murabbi, walaupun aku merasakan ianya hanyalah satu ungkapan gurauan dan "pengikat tali ukhwah" dari sahabat-sahabat. Sehinggakan panggilan itu digunakan dalam blog dan FB. Bukan aku tidak suka dengan gelaran dan panggilan tersebut. Malah aku sangat-sangat berharap untuk mencapai tahap tersebut. Tetapi aku tahu, sehingga saat ini, aku belum layak untuk digelarkan dengan ungkapan mulia dan penuh hormat tersebut.

Kenangan di Matrikulasi 2004

Bercerita tentang gelaran dan panggilan yang diberikan kepada aku, ini bukanlah kali pertama aku mendapat gelaran yang tidak pernah digunakan sebelum ini. Ada beberapa kali aku dipanggil dengan gelaran baru, namun hanya satu sahaja yang melekat sehingga ke hari ini. ABE! inilah satu-satunya gelaran yang diberikan kepada aku yang masih melekat sehingga ke hari ini. Gelaran ini diberikan oleh seorang sahabat ketika sama-sama menuntut di matrikulasi UIAM. Pertemuan dan perkenalan yang telah ditakdirkan Allah SWT semasa minggu suai kenal telah membentuk satu ikatan ukhwah sehingga ke hari ini. Alhamdulillah.

Aku tidak pasti bila aku mula dipanggil dengan gelaran 'Abe', namun apa yang pasti gelaran yang mula dipelopori oleh sahabatku ini menjadi ikutan sahabat dan rakan-rakan yang lain. Pada mulanya, ia digunakan dikalangan rakan-rakan lelaki sahaja, tetapi sedar tak sedar rakan-rakan perempuan pun sudah mula membahasakan diriku dengan gelaran ini. Agak janggal juga pada mulanya, namun ianya menjadi sesuatu yang 'membanggakan' apabila dipanggil dengan gelaran sedemikian. Aku merasakan, aku lebih dekat dengan masyarakat dan sahabat bila aku dipanggil dengan gelaran 'Abe'. Terima kasih NIK MANSOR NIK MAHMUD atas 'penghormatan' (gelarana Abe) ini.

Namun, gelaran "murabbi" belum layak untuk diri aku. Aku masih lagi seorang mutarabbi. Aku merasakan perjalanan dan persiapan untuk menjadi seorang Murabbi yang sebenar masih lagi jauh. Masih lagi banyak yang perlu dilengkapkan dan masih lagi banyak yang perlu dipelajari. Aku belum lagi murabbi, tetapi aku akan berusaha menjadi seorang Murabbi. Aku akan membina diri ini menjadi seorang Murabbi.

Dari Mutarabbi kepada Murabbi!

Apabila menyentuh soal murabbi, aku berpendapat, setiap ahl dakwah atau dai'e perlu bercita-cita untuk menjadi seorang murabbi. Tidak selama-lamanya meletakkan status dirinya hanya sebagai mutarabbi. Mutarabbi adalah medan latihan dan persediaan untuk menjadi seorang Murabbi. Seorang Murabbi pada masa yang sama adalah seorang mutarabbi, dan seorang mutarabbi tidak semestinya pada masa yang sama dia adalah seorang murabbi. Mutarabbi yang tidak betul-betul mempersiapkan dirinya untuk menjadi seorang murabbi, tidak layak untuk bergelar seorang murabbi.

Menjadi seorang murabbi bukanlah sesuatu yang mudah, ia juga bukanlah sesuatu yang sukar. Ia bergantung kepada usaha dan kesungguhan seseorang dalam membentuk diri sendiri. Sukar bilamana ia tidak mengikut acuan yang tepat dan tiada kesungguhan. Mudah bilamana ia bersemangat dan penuh kesungguhan disamping mengikuti sistem tarbiah yang berlandaskan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam Islam, Murabbi adalah satu konsep yang merujuk kepada pendidik yag bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu, tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan segala ilmu yang dipelajari. Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. tugas Muallim hanya banyak berlegar di 'Aqal, tetapi tugas Murabbi berlegar di hati.

Nah, bukan senang-senang untuk digelarkan sebagai Murabbi. Sebab itulah aku menegaskan yang "Aku Belum Lagi Seorang Murabbi" (merujuk kepada konsep murabbi yang sebenar). Tetapi aku akan bersedia dan mempersiapkan diri menjadi seorang Murabbi. Aku mengharapkan anda semua juga bercita-cita menjadi seorang Murabbi.

Bagi yang ingin menggelarkan atau memanggil aku dengan Murabbi, aku tidak menghalang. Aku tahu panggilan itu satu doa. Aku mengharapkan doa itu menjadi kenyataan suatu hari nanti. Namun, aku belum lagi seorang Murabbi dalam erti kata yang sebenar. Walaupun panggilan itu hanya sekadar satu 'gurauan', namun aku tetap menghargai semua itu.

Siru 'Ala Barakatillah! Ilal Liqa'.

2 comments:

  1. Ya, itu yang kita sentiasa doakan supaya nama Abe Afif Rabbani akan menjadi Murabbi perjuangan akan datang. Tatkala itu, nta akan mengucapkan terima kasih kepada ana sebab sentiasa mendoakan nta supaya menjadi Murabbi..ameen. (^^,)

    ReplyDelete
  2. Ana juga mendoakan agar Ust Rayyan dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi seorang Murabbi yang akan meneruskan mata rantai perjuangan Islam.

    ReplyDelete