Detik Waktu

Tuesday, October 19, 2010

Islamophobia: Tanggungjawab dan Peranan Mahasiswa Islam

Pada suatu hari, dua orang rakan baik sedang menikmati pisang goreng panas di sebuah gerai berhampiran tempat kerja mereka. Dua sahabat baik, seorang Muslim bernama Ahmad dan seorang lagi non-Muslim bernama Stephen. Ketika sedang berselera makan dan rancak berbual, tiba-tiba Stephen mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan rakan baiknya, Ahmad.
"Aku sebenarnya semakin ragu untuk memeluk Islam!"

Ahmad yang sedang menghirup ABC terus tersentak dan terkedu. Setahu Ahmad, sudah lama Stephen tertarik dengan Islam, bermula dengan membaca beberapa buku mengenai Islam. Malah dia jugalah yang banyak membantu Stephen mengenali Islam dengan lebih dekat dan mendalam. Dan padanya, Stephen hanya menunggu masa sahaja untuk menjadi sahabat dan saudara seaqidahnya.

Gambar hiasan: Ahmad dan Stephen

Namun, petang itu, satu kenyataan yang tidak disangka-sangka keluar dari mulut Stephen. Walaupun agak terkejut, Ahmad tetap cuba menyelami perasaan dan maksud sebenar kata-kata Stephen.

"Kau ni biar betul. Bukankah kau yang nak sangat-sangat mengenali Islam. Dulu pun kau pernah menyatakan hasrat nak memeluk Islam. Tapi kenyataan kau tadi membuatkan aku bingun dan pelik. Kenapa ni?", tanya Ahmad bagi mendapatkan kepastian. Stephen tidak terus menjawab, sebaliknya termenung sejenak. Ahmad masih sabar menanti jawapan dari rakan baiknya itu.

"Aku pun tak pastilah", jawab Stephen sambil mengeluh panjang.

"Ya, aku tak nafikan, dulu aku amat tertarik dengan Islam. Banyak buku-buku dan bahan bacaan yang aku baca dan rujuk tentang Islam meyakinkan aku Islam adalah agama yang sempurna dan terbaik. Namun, apa yang aku lihat, realitinya tidak begitu", sambung Stephen.

"Maksud kau?", tanya Ahmad yang dari tadi fokus mendengar.

"Kau tengok sajalah kat pejabat kita tu. Aku tengok rakan-rakan sekerja Islam macam bukan orang Islam sahaja. Aku tahu yang Islam ni ada sembahyang, ada puasa, tak boleh berjudi, tak boleh minum arak dan macam-macam lagi la. Tapi, sepanjang pemerhatian aku, ramai je budak-budak pejabat yang Muslim tu tak solat, tak puasa, minum arak dan buat banyak benda lagi yang Islam larang. Perangai pun teruk juga", jelas Stephen meluahkan isi hati dan keraguan diri.

Maka, fahamlah Ahmad akan situasi dan masalah yang menimpa Stephen. Islamophobia. Satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan rasa fobia atau kebimbangan terhadap Islam samaada pada ajarannya, penganutnya, budayanya dan segala yang berkaitan dengan Islam. 

Islamophobia: phobia dan rasa takut kepada Islam

Islamophobia: Satu Realiti

Situasi atau cerita di atas merupan salah satu gambaran yang jelas tentang fenomena Islamophobia dan salah faham terhadap Islam yang semakin mendapat perhatian sejak sebulan yang lepas. Islamophobia semakin hangat diperkatakan dan diperbincangkan apabila PM Malaysia, Dato' Seri Najib membangkitkannya dalam satu pertemuan dengan Presiden AS, Barack Obama baru-baru ini. Ia adalah kesinambungan daripada isu cadangan membakar Al-Quran oleh seorang paderi di AS yang bernama Terry Jones.

 Terry Jones, paderi yang mencadangkan satu "usaha gila" dan tidak bertamadun!

Hakikatnya, Islamophobia bukanlah satu isu baru. Isu ini sudah lama dibincangkan dan diperkatakan, cuma sejak akhir-akhir ini ia semakin mendapat perhatian terutamanya di Malaysia. Di Malaysia sendiri, ramai sebenarnya golongan non-Muslim yang phobia dengan Islam. Malah, tidak salah untuk aku katakan bahawa penyakit Islamophobia bukan sahaja terkena kepada non-Muslim, tetapi juga kepada ummat Islam yang gagal memahami Islam secara tepat dan mendalam.



Jesteru, menjadi tanggungjawab kita semua, seorang Muslim yang faham dan jelas akan ajaran Islam, untuk menangani masalah ini dan berusaha menghapuskan perasaan Islamophobia di kalangan non-muslim dan muslim yang jahil. Di sini, aku melihat bahawa golongan mahasiswa dan mahasiswi Islam mempunyai peranan yang besar dan peluang yang luas dalam menangani isu ini. Kenapa? Mahasiswa Islam adalah golongan yang berpelajaran dan mempunyai hubungan yang lebih dekat dengan rakan-rakan non-muslim di kampus-kampus. Malah ramai di kalangan mahasiswa Islam yang boleh menjadi contoh kepribadian Muslim yang sebenar, yang dapat memudahkan lagi usaha penerangan dan penjelasan kepada non-Muslim. 

Peranan Mahasiswa Kampus

Di sini beberapa cadangan peranan dan tanggungjawab yang boleh dimainkan secara serius oleh golongan mahasiswa Islam kampus secara khususnya dan golongan pemuda-pemudi secara umumnya. Antaranya ialah:

  1. Melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kefahaman Islam yang sebenar. Ini merupakan langkah paling asas kerana seorang dai'e mestilah memahami apa yang hendak disampaikan dengan sebenar-benarnya. Ia juga sebagai persiapan jika berlaku perdebatan ataupun perbezaan pendapat dengan golongan mad'u.
  2. Mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dalam kehidupan seharian. Langkah ini amat penting kerana kita akan menjadi contoh kepada mad'u yang kita seru. Dan jika berlaku kes seperti yang diceritakan di atas, mudahlah untuk kita memberikan gambaran yang sebenar tentang cara hidup Islam yang sebenar.
  3. Memahami secara mendalam permasalahan berkaitan dengan Islamophobia. Sebagai seorang mad'u, kita sewajarnya memahami dulu permasalahan dan fakta disebalik timbulnya isu Islamophobia. Mengkaji punca-punca, contoh-contoh salah faham dan pandangan-pandangan non-muslim terhadap Islam akan membantu kita menyusun langkah dengan lebih tepat dan sistematik.
  4. Bergaul mesra dengan golongan sasaran (muslim yang jahil dan non-muslim) dan mengambil segala peluang yang ada bagi menerangkan tentang ajaran Islam yang sebenar. Di universiti mahupun kolej yang mana mempunyai pelajar daripada pelbagai agama sebenarnya membuka ruang kepada mahasiswa Islam untuk menerangkan kepada rakan-rakan mahasiswa non-Muslim mahupun rakan mahasiswa muslim yang jahil tentang salah faham terhadap Islam.
  5. Menentang sebarang anasir-anasir yang cuba memberikan gambaran yang salah terhadap Islam. Antaranya ialah SIS, AFC dan kumpulan artikel 11 yang banyak memanipulasikan ajaran Islam dan memberikan gambaran yang slah terhadap Islam sehingga menimbulkan kemarahan ummat Islam.
  6. Melibatkan diri dan menyumbang kepada sebarang usaha-usaha luar terutamanya dari NGO-NGO Islam atau mana-mana pertubuhan Islam yang dirasakan mampu menangani masalah Islamophobia ini. Sumbangan berbentuk tenaga, masa dan wang ringgit adalah sangat penting bagi memastikan segala perancangan dakwah dapat dijalankan secara menyeluruh dan sistematik.
  7. Menjadi duta-duta Islam apabila pulang ke kampung halaman ketika bercuti dengan memberikan maklumat yang tepat kepada orang ramai mengenai Islam dan sebarang isu yang timbul berkaitan dengan Islam. Biasanya, golongan perantauan termasuklah mahasiswa yang pulang ke kampung akan lebih mendapat perhatian daripada masyarakat setempat kerana ilmu pengetahuan yang tinggi dan berpelajaran.


Kesimpulannya, banyak ruang-ruang dan peluang-peluang yang boleh diambil oleh mahasiswa dalam membantu menangani maslah Islamophobia dan salah faham terhadap Islam ini. Jika usaha secara bersepadu dapat dilakukan, InsyaAllah seluruh ummat manusia akan menyedari dan mengakui akan kesyumulan dan betapa betulnya ajaran yang dibawa oleh Agama Islam.

SAY NO TO ISLAMOPHOBIA!

1 comment: