Detik Waktu

Wednesday, October 27, 2010

Hub Hiburan ETP: Aku BANTAH!

Apa sudah nak jadi dengan kerajaan Malaysia? Apa sudah nak jadi dengan kepimpinan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak? Pelbagai kecelaruan dan kekhilafan yang ditimbulkan dari hari ke hari. Tidak habis lagi dengan isu IFF, timbul pula isu baru. Isu berkaitan dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan oleh PM pada 25 Oktober 2010. ETP adalah satu langkah yang baik, dan aku secara pribadinya setuju dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memacu dan memantapkan ekonomi masyarakat dan negara. Dalam keadaaan status ekonomi yang turun naik dan perkembangan yang lembab, aku rasa usaha ini sedikit sebanyak dapat menggerakkan masyarakat ke arah penjanaan ekonomi yang lebih dinamik dan menyeluruh.

ETP: 12 fokus utama termasuklah sektor pelancongan

Namun, apa yang buat aku geram dan marah dengan kerajaan ialah cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan sebagai salah satu aktiviti dalam ETP. Hub hiburan adalah salah satu projek yang terletak di bawah sektor pelancongan, yang merupakan satu daripada 12 NKEA (National Key Economic Areas). Mengikut maklumat daripada portal Malaysiakini, Hub Hiburan ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Yang lebih teruk dan mengejutkan aku ialah, cadangan penubuhan zon hiburan di lima negeri termasuk Lembah Klang, di mana sekurang-kurangnya 10 kelab malam berstatus tinggi akan ditubuhkan menjelang 2014. Adakah kerajaan Malaysia sudah tidak siuman? ataupun mereka sudah ketandusan idea dan cadangan sehinggakan mencadangkan satu langkah yang tersasar dari ajaran Islam? Nampaknya kerajaan Malaysia semakin hari semakin berani untuk mencontohi barat dan budaya Yahudi yang menjadikan bidang hiburan sebagai salah satu fokus utama dalam memacu ekonomi negara. Kalau inilah keadaannya, aku merasakan rakyat Malaysia perlu menyatakan bantahan dan mendesak kerajaan menarik balik cadangan menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan.

Benarlah peringatan dan keterangan yang telah disabdakan oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang menceritakan peristiwa akhir zaman, yang mana maksudnya: "Daripada Abu Sa'id Al-Khudri ra berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Kamu akan mengikuti jejak langkah ummat yang sebelum kamu, selangkah demi selangkah, sehasta demi sehasta, sejengkal demi sejengkal, sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan? Nabi SAW menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka" (HR Muslim)

Hub Hiburan: Adakah kerajaan ingin menjadikan Malaysia negara 'Kelab Malam'
 
Kerajaan seolah-olah menangguk di air yang keruh (memang benar pun). Adakah kerajaan tidak sedar bahawa impak buruk yang lebih besar akan timbul dan melanda masyarakat jika semakin banyak pusat hiburan diwujudkan. Aku yakin kerajaan sedar akan hakikat ini. Namun apa yang mampu dibuat jika keuntungan duniawi yang hendak dicapai semata-mata, tanpa melihat kepada pandangan agama dan maslahah ummat yang lebih besar. Apa lagi yang mampu diperkatakan jika kerajaan hanya memikirkan dan berkiblatkan material semata-mata, tanpa memandang serius nasib anak-anak muda terutamanya yang Muslim yang akan "tertarik" dan "terpikat" dengan kewujudan hub hiburan ini.

Aku yakin dan pasti, apabila pusat hiburan ini diwujudkan dan beberapa tempat ini diisytiharkan sebagai hub hiburan di Malaysia, bukannya para pelancong yang akan memenuhi tempat ini, tetapi akan dipenuhi oleh anak-anak muda tempatan terutamanya yang beragama Islam. Ketika pelbagai pihak sedang berusaha dan memikirkan cara yang terbaik untuk menangani dan mengatasi masalah sosial di kalangan masyarakat, kerajaan tanpa segan silu dan dengan bangganya menyediakan ruang-ruang maksiat dan peluang-peluang dosa kepada masyarakat Malaysia. Apalah gunanya segala usaha yang dijalankan dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak, namun pada masa yang sama kita "menggalakkan" masyarakat untuk melakukan maksiat.

Jika sekalipun kerajaan beralasan bahawa tempat-tempat sebegini disediakan untuk keselesaan para pelancong asing dan untuk menarik minat para pelancong untuk datang ke Malaysia, aku tetap mambantah usaha dan cadangan ini. Aku pasti, para pelancong yang datang bukan untuk menikmati hiburan malam yang ada di Malaysia, kerana pusat-pusat hiburan di tempat mereka lebih maju dan besar lagi. Apakah pelancong asing begitu bodoh untuk menghabiskan beribu-ribu ringgit datang ke Malaysia sekadar untuk menikmati dan merasai suasana hiburan malam di negara ini?

Kedatangan pelancong ke Malaysia

Dan jika sekalipun tiada pusat hiburan malam wujud di Malaysia, para pelancong tetap datang dan berkunjung ke sini bagi menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi yang ada di Malaysia. Aku merasakan para pelancong lebih tertarik dengan budaya setempat, kewujudan pelbagai kaum dan keindahan alam flora dan fauna berbanding dengan faktor hiburan untuk melancong ke Malaysia. Aku pasti, jika kerajaan meletakkan dasar "sifar hiburan" (hiburan yang melampau dan bercanggah dengan Islam), para pelancong akan menghormati pendirian kita. Mereka tidak akan bersungut dan malah mereka akan menghormati pendirian kita dengan lapang hati. Kerana inilah yang diajarkan dan didoktrinkan kepada mereka. Menghormati dan menerima pendapat dan pendirian orang lain.

Cukuplah dengan segala sumber-sumber dan cabang-cabang maksiat yang ada sekarang di Malaysia. Aku bukan tidak sokong ETP, aku bukan tidak sokong industri pelancongan dan aku bukan tidak sokong industri hiburan. Namun apa yang aku sangat-sangat benci, marah dan bantah ialah pengisian dan tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan yang membawa kemudaratan yang besar kepada masyarakat. Aku mengharapkan, golongan cerdik pandai dan cendekiawan Islam yang rapat dan dekat dengan kerajaan memberikan nasihat yang tegas kepada kerajaan. Agama itu satu nasihat.

Aku amat mengharapkan agar kerajaan menarik balik cadangan menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan dan memberikan fokus kepada ruang-ruang yang lebih penting seperti pendidikan dan perniagaan. Jika kerajaan masih degil dan bebal untuk meneruskan cadangan ini, aku pasti rakyat akan bangkit secara beramai-ramai untuk membantah usaha ini. Jangan ingat rakyat begitu bodoh dan mudah diperdaya dengan usaha-usaha sebegini. Ingatlah, KUASA di tangan RAKYAT!   

2 comments:

  1. mereka begitu berani untuk membuat langkah ini. adakah mereka menjangkakan bahawa rakyat akan mampu menerimanya?

    ReplyDelete
  2. hanya rakyat yang 'bodoh' dan 'bebal' akan setuju dengan cadangan ini. Kerajaan malaysia semakin hari senakin jauh dengan landasan Islam dan tindakan yang dibuat seolah-olah mereka bukannya orang Islam.

    ReplyDelete