Detik Waktu

Saturday, October 20, 2012

KEHEBATAN TA'ARUF AL-USTAZ DAKWAH FARDIYYAH



4 Zulhijjah 1433H. SABTU.

Bismillah Wal Hamdulillah.

Antara perkara yang dikongsikan dalam usrah saya petang tadi bersama-sama sahabat ialah kisah seorang tokoh Ikhwanul Muslimin, yang bernama Dr. Abbas Asisi, yang juga dikenali sebagai Al-Ustaz Dakwah Fardiyah. Kisah bagaimana beliau menggunakan kepakaran beliau dalam kaedah TA'ARUF untuk memperkenalkan IM dan menarik para pemuda untuk bersama dalam perjuangan Islam yang dibawa IM. Kisah ini diceritakan di dalam buku beliau yang berjudul "Al-Hubbu Fi Qalbi" (kalau tidak silap).

Pada suatu hari, beliau yang berada di Iskandariah, menaiki sebuah van tumpangan menuju satu tempat. Pada waktu itu, van tumpangan merupakan pengangkutan awam yang terkenal di Mesir. Di dalam van itu, beliau duduk bersebelahan dengan seorang pemuda, yang kelihatan baik perwatakan dan berakhlak mulia. Terus beliau memasang niat untuk mengenali pemuda ini dan seterusnya memperkenalkan IM kepada pemuda ini dan menarik pemuda ini untuk bersama-sama dalam perjuangan yang dibawa oleh IM.

Bagi memulakan proses ta'aruf (perkenalan) ini, beliau dengan sengaja memijak kaki pemuda itu. Keadaan ini membuatkan pemuda tersebut sedikit marah dan bertanya kenapa beliau memijak kakinya. Jawab Dr Abbas, "Maaf, saya sengaja memijak kaki anda. Sebenarnya saya mahu berta'aruf dengan anda". Pemuda itu lantas bersetuju, lalu bermulalah proses ta'aruf tersebut. Dr Abbas Asisi memperkenalkan siapa beliau dan juga keterlibatan beliau dalam Jemaah IM. Beliau juga menceritakan tentang Islam, dan apa yang diperjuangkan oleh IM.

Pemuda itu sangat tertarik dengan penjelasan Dr Abbas Asisi. Akhirnya, selepas beberapa minit proses ta'aruf berlaku, Dr Abbas bertanyakan kepada pemuda itu, adakah beliau bersedia untuk bersama-sama dengan perjuangan yang dibawa oleh IM? Pemuda itu kini menjadi salah seorang ahli yang istiqamah dan pimpinan dalam IM.

Inilah hebatnya dakwah fardiyah seorang daie yang bernama Dr Abbas Asisi. Semuanya bermula dengan proses TA'ARUF, yang ditunjangi dengan keikhlasan hati dan matlamat untuk meyebarkan Islam.


KHUTBAH JUMAAT PILIHAN



SAFA DAN MARWAH SERTA KEHARUSAN MEWUJUDKAN PERSEFAHAMAN DGN ORG BUKAN ISLAM
Oleh: Ustaz Felza Zulhibri (CELPAD)

Khutbah Pertama:

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 158 surah al-Baqarah:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوْ اعْتَمَرَ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْراً فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ (158)
Bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian daripada Syiar atau lambang agama Allah. maka barangsiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baytullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah kesalahan dia bersa’ie diantara keduanya. Sesiapa yang mengerjakan kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala dan Allah lagi Mengetahui”

Bersempena datangnya bulan Zulhijjah yang digelar sebagai bulan Haji dimana tetamu Allah diseluruh pelusuk dunia berduyun-duyun mengerjakan ibadah Haji di Baytullah, mimbar pada hari ini ingin menyelami kisah sejarah ibadah sai’e yang menjadi salah satu rukun ibadah haji. Secara umumnya, ayat ini diturunkan ketika mana orang-orang Islam merasa keberatan hendak bersa’ei di antara Safa dan Marwah yang pada suatu masa terdapat disitu berhala-hala yang disembah oleh masyarakat jahilliyyah. Masyarakat jahilliyyah diberitakan telah terlebih dahulu mengerjakan sa’ei dengan memuja dua buah patung, iaitu patung jantan yang bernama Asafa terletak dibukit Safa dan patung betina yang bernama Na’ilah terletak dibukit  Marwah. Disebabkan sejarah inilah, setengah golongan Ansar merasa keberatan untuk mengerjakan sa’ei kerana tidak suka memuliakan tempat yang dimuliakan oleh orang kafir seolah-olah membuat ibadah yang menyerupai amalan orang kafir. Justeru itu, ayat ini diturunkan sebagai bukti bahawa ibadah sa’ei ini dibenarkan oleh Allah dan termasuk antara amalan untuk mendekati Allah s.w.t sebagai lambang taat dan setia kepadaNya.

Kenapakah sampai begitu sekali sensitifnya umat Islam pada masa itu walaupun ibadah sai’e itu sudah mendapat kelulusan daripada Allah s.w.t? Hal ini demikian kehidupan orang Islam ketika itu digambarkan begitu kuat dari segi aqidahnya yang menakluki seluruh jiwa mereka. Mereka dapat merasakan satu perubahan yang menyeluruh telah berlaku di dalam kefahaman dan pemikiran mereka terhadap kehidupan seolah-olah Rasullullah s.a.w telah memegang jiwa mereka ini lalu menggoncangkannya dengan sekuat-kuatnya sehingga segala keladak-keladak jahilliyah yang melekat dalam jiwa mereka terpelanting keluar darinya. Kemudian atom-atom jiwa mereka disusun semula mengikut corak yang baru sama seperti kejutan elektrik menyusun semula atom-atom mengikut bentuk yang berlainan daripada bentuk asalnya”.

Berkata al-Syahid Sayyid Qutb: “ Inilah sifat Islam, ia memutuskan seseorang mu’min itu secara total dari segala sesuatu yang diamalkan di zaman jahilliyah. Ia menimbulkan perasaan jijik terhadap segala perkara yang ada hubungan dengan jahilliyah. Ia melahirkan perasaan takut dan hati-hati disetiap waktu terhadap segala perasaan dan segala pergerakan yang dilakukan oleh mereka di zaman jahilliyah sehingga seluruh hati mereka hanya diisikan dengan kefahaman dan pemikiran yang baru dengan segala syarat yang dituntut.”

Atas sebab ini, seharusnya seluruh bakal haji khasnya dan seluruh umat Islam amnya perlu menghayati ruh ibadah sa’ei ini  agar dapat mewujudkan rasa jijik dan benci kepada setiap perkara yang haram, mungkar, maksiat, kezaliman, kebejatan yang mana kesemua ini adalah berasal daripada amalan kaum jahilliyah. Janganlah apabila balik dari Baitullah, perangai dan pegangan yang lama yang jelas tersasar daripada Islam yang sebenarnya masih dikekalkan dan dipertahankan. lebih malang lagi, yang dipertahankan itu sudah jelas tersasar daripada ruh Islam yang suci, adil, saksama, amanah, menolak ketirisan, sentiasa menganjurkan kepada ma’ruf dan tidak sekali-sekali mengajak kepada kemungkaran. Ingatlah, jangan meletakkan diri kita sama dengan taraf haiwan yang tidak berakal kerana seekor haiwan tidak akan peduli tentang halal dan haram makanan yang ditelannya. Begitu juga dari segi tindakan, ia juga tidak akan peduli samada menceroboh kebun atau harta orang kerana persoalan halal dan haram bukan satu persoalan baginya. Berbeza dengan manusia, halal dan haram merupakan satu persoalan yang perlu difikir sebelum makan atau melakukan sesuatu tindakan. Jika tidak, seorang manusia itu samalah tarafnya dengan seekor haiwan..

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِنْ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَئِكَ هُمْ الْغَافِلُونَ

بارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua:

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,Dewasa ini timbul kekeliruan tentang haruskah wujud persefahaman dengan orang yang bukan Islam dalam memastikan ketuanan Islam ini tertegak di bumi Allah s.w.t. Rasulullah S.A.W.  bersabda secara umum:

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها
Maksudnya: “Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya”. (riwayat Ibn Majah)

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman daripada sesiapa pun , walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah yang musyrik. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam.Antara yang paling masyhur, ialah peristiwa yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi. Apabila mengenangkan peristiwa ini, Rasulullah S.A.W. bersabda yang berbunyi:

لو دعيت به في الاسلام لأجبت
Maksudnya: “Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya”

Namun begitu, Rasulullah S.A.W. juga dengan tegas menyatakan sempadan persefahaman ini dengan sabdanya :

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما
Bermaksud: “Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram” (riwayat Bukhari)

Ini menjadi antara hujah bahawasanya diharuskan bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat lebih-lebih dalam masyarakyat majmuk, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, masyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.Antara hujah lain yang thabit dgn sirah Rasullullah s.a.w:

1. Hadith riwayat Ibn Ishaq dengan sanad yang sahih dan telah diriwayatkan kepada beliau bahawasanya Rasullullah s.a.w mendapat berita bahawa Sofwan b. Umayyah (ketika itu masih musyrik) memiliki beberapa pakaian dan senjata, maka baginda menghantar utusan menemuinya utuk meminjam sejumlah baju perang dan senjata itu. Maka Sofwan pun berkata: “ Adalah ini satu rampasan?” Maka Baginda menjawab : “ Tidak, tetapi ia merupakan satu pinjaman yang dijamin sehingga kami kembalikan kepadamu”. Lalu Sofwan memberi 100 baju perang dan senjata yang secukupnya kepada Rasullullah s.a.w

2. Dalam buku bertajuk Kerjasama politik dalam menegakkan Kerajaan Islam, karangan Dr Munir Muhammad al-Ghadban, mk 284-285, beliau menyatakan Imam al-Syafie telah menghuraikan dengan lebih lanjut dgn katanya “Jika seseorang imam melihat seseorang kafir tersebut mempunyai pandangan yang bernas dan boleh dipercayai dikalangan orang2 Islam disamping ada keperluan kepada memohon bantuan darinya maka tindakan ini iaitu tindakan memohon bantuan org kafir itu dibenarkan. Dan jikalau keadaan tidak seperti sebegitu tadi, maka tindakan tersebut tidak dibenarkan”. sila rujuk kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, mk 221.

3. Rasullullah s.aw juga pernah memanfaatkan bantuan Abu Talib walaupun seorang yang bukan Islam. Begitu juga di dalam perjanjian Aqabah, Baginda menemui qabilah haji dari Yathrib ditemani oleh Abbas b. Abdul Mutallib walaupun Abbas masih belum masuk Islam ketika itu.

4. Rasullullah s.a.w juga berkerjasama dengan Yahudi dan musyrikin Madinah dalam piagam Madinah. Baginda juga mengadakan kerjasama dengan orang kafir yang berada dipenempatan sekitar luar Madinah atas kerjasama menjaga laluan dagang diluar kota Madinah demi memelihara keselamatan bersama dan kedaulatan NEGARA ISLAM MADINAH.

Berdasarkan hujah dan dalil yang disebutkan tadi, diharap sidang Jumaat tidak tertipu dan serta diperbodohkan oleh mereka yang ingin menafikan hikmah kenapa Allah s.wt itu mentakdirkan rakyat Malaysia ini berbilang kaum, bangsa dan agama. Sirah Rasullullah s.a.w telah jelas menunjukkan bagaimana akhlaq Rasullullah ketika bermuamalah dgn mereka. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak dapat membezakan diantara Islam dan Melayu, seperti kaum Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.

Tegakkan Melayu yang jelas tidak mahu kepada hukum Islam hanya akan menjadikan Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal. Dan khutbah kedua ini diakhiri dgn sebuah analogi yang amat mudah, sekiranya kita hidup berjiran dengan kaum yang bukan Islam di sebuah taman perumahan, tiba2 rumah kita dimasuki pencuri dan pencuri itu seorang melayu Islam, dan datanglah jiran-jiran kita dikalangan yang bukan Islam ingin membantu…adakah kita menerima bantuan mereka ataupun berkata dengan sombongnya…tak payahlah bantu aku…sebab kamu semua bukan melayu Islam…lagipun  yang mencuri ini ialah melayu yang sudah pasti i.c pencuri ini tertulis Islam sebagai agamanya……..maka tepuk dada tanyalah iman….

Thursday, October 11, 2012

Muhasabah Petang: Ketentuan Allah SWT

[]


" Banyak masa kita mudah mengeluh dan bersangka buruk dengan Allah SWT. Apabila kita meminta dan memohon sesuatu, lalu Allah SWT memberikan sesuatu yang lain, apa lagi jika apa yang diberikan itu tidak memenuhi kehendak hati dan nafsu kita, terus kita tidak gembira bahkan kalau boleh mahu menafikannya. Maka hiduplah kita dengan taqdir Allah SWT itu. 

Setelah berlalunya suatu t
empoh masa, hidup kita semakin baik dan gembira. Barulah kita sedar dan faham bahawa apa yang Allah SWT berikan kepada kita itu sebenarnya adalah yang terbaik buat kita. Apa yang kita lalui adalah terlebih baik daripada apa yang kita bayangkan dengan kehendak awal kita.

Inilah lemahnya kita. Kita hanya mampu melihat apa yang di depan kita sahaja, itupun terbatas juga. Sedangkan Allah SWT itu Maha Berkuasa, Allah SWT berkuasa melihat apa yang akan berlaku pada masa akan datang, kerana segala apa yang berlaku dan akan berlaku sudah tertulis sejak azali lagi "

Apakah yang terlebih baik selaian daripada apa yang Allah SWT berikan kepada kita?





Tuesday, October 9, 2012

PERJALANAN KE PUTRAJAYA BERBEKALKAN TARBIYAH


Saat ni ramai di kalangan pendokong mahupun penyokong Parti Islam Semalaysia (PAS) begitu teruja dengan hasrat dan komitmen yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat untuk mengambilalih Putrajaya daripada kepimpinan UMNO/BN melalui PRU-13 yang akan datang. Bahkan ramai di kalangan mereka yang turut sama menyumbang dan bekerja bagi memastikan hasrat bersama ini mampu dicapai dengan penuh kejayaan. 

Ya, bermula dari Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya, Peringkat Malaysia, yang diadakan di Stadium Darul Aman pada 1 Jun yang lepas, dan diikuti pula dengan siri-siri himpunan peringkat negeri, semangat dan motivasi ahli dan penyokong PR, terutamanya ahli dan penyokong PAS begitu membara dan tinggi sekali. Hakikatnya, semangat inilah yang menjadi pemangkin kepada usaha dan gerak kerja yang tersusun dan berkesan, bagi memastikan Putrajaya bakal mendapat kepimpinan yang baru, yang lebih ikhlas, adil dan telus.

Hasrat Ke Putrajaya Sudah Ditanam Sejak Sekian Lama

Sesungguhnya perjalanan ke Putrajaya itu bukanlah satu perjalanan yang mudah. Ia adalah satu perjalanan yang jauh, penuh berliku, dihiasi dengan dugaan dan cabaran. Perjalanan ini memerlukan satu persediaan dan bekalan yang rapi, tersusun dan berkesan. Tanpa persediaan dan bekalan ini, sudah pasti ramai yang akan menarik diri, ramai yang akan mengubah laluan, ramai yang akan berhenti di separuh perjalan dan mungkin ada yang akan tiba-tiba menjadi penghalang kepada perjalanan ini.

Sedarkah kalian, perjalanan ke Putrajaya ini bukanlah bermula pada tahun ini, bukanlah bermula apabila dilancarkan program Himpunan Hijau Ke Putrajaya. Ketahuilah, hasrat kepada permulaan perjalanan ini adalah apabila tertubuhnya PAS. Di situlah bermulanya hasrat ini. Sebagaimana kita ketahui, PAS adalah sebuah Jemaah Islam, yang mengambil pendekatan Tarbiyah, Dakwah dan Siasah dalam gerak kerja dan perjalanan Jemaah mereka. Maka bilamana di sana ada agenda Siasah, sudah pasti di sana PAS meletakkan satu cita-cita yang murni untuk mentadbir negara ini dengan Islam. Atas faktor inilah, PAS menyertai pilihanraya, sebagai satu wadah/pentas bagi mendapatkan tampuk pemerintahan, samaada peringkat negeri dan negara, bagi menegakkan Agama Allah SWT, yang diwarisi oleh Nabi Muhammad SAW.

PAS sememangnya berpandangan jauh. Hasrat ke Putrajaya ini sudah lama menjadi agenda PAS. Kerana PAS melihat, dalam waqie Malaysia, menguasai Putrajaya itu adalah suatu KEWAJIPAN bagi menyempurnakan KEWAJIPAN yang lebih besar, iaitu menegakkan Agama Allah SWT di muka bumi Malaysia ini. Walaupun hasrat ke Putrajaya ini tidak dinyatakan secara jelas dan tersusun sebagaimana yang dilakukan pada hari ini bersama rakan-rakan dalam PR, hakikatnya PAS sememangnya telah memulakan langkah awal pada waktu itu.

Langkah Bermula Dengan Tarbiyah

TARBIYAH. Inilah yang PAS lakukan. PAS menyedari dan memahami bahawa perjalanan ke Putrajaya memerlukan penggerak yang benar-benar ikhlas, faham dan bersedia untuk menggerakkan bahtera PAS ini ke Putrajaya. Inilah yang PAS belajar dan mengambil ikhtibar daripada Sunnah Rasulullah SAW dan apa yang dilalui oleh para sahabat dan pejuang Agama Allah yang terdahulu. Sebagaimana Rasulullah SAW ditarbiyah oleh Allah SWT untuk memikul amanah kerasulan yang begitu berat itu, dan juga sebagaimana Rasulullah SAW mentarbiyah para sahabat untuk menjadi penolong dan pejuang Agama Allah, yang akan bersama-sama Baginda SAW memperjuangkan Islam, PAS meletakkan agenda tarbiyah sebagai asas dan tunjang kepada perjalanan yang jauh ini.

Para kepimpinan dan ahli dididik dan dilatih melalui pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan waqie setempat. Ahli-ahli sentiasa dititikberatkan dengan Aqidah Perjuangan yang benar lagi suci, diajarkan untuk mengambilberat akan Ibadah kepada Allah SWT, diasuh untuk berakhlak dengan akhlak Islam dan diajarkan dengan beberapa perkara lagi yang sangat penting dalam melahirkan kader-kader dakwah dan abnaul harakah yang ikhlas dan faham dengan hasrat yang dibawa oleh PAS ini. Program-program pembentukan seperti usrah, tamrin, liqa’, kuliah haraki, daurah, qiamullail, katibah dan seumpamanya banyak sekali dijalankan bagi memastikan ahli-ahli yang dilahirkan oleh PAS adalah ahli-ahli yang benar-benar berkualiti dan terbukti kefahaman mereka.

Dakwah Melengkapi Pakej Tarbiyah

Dalam usaha bagi memastikan hasil tarbiyah ini dapat dilihat dan dinilai dalam tempoh yang ringkas, PAS juga meletakkan agenda DAKWAH sebagai agenda bersama yang perlu dititikberatkan selain daripada agenda Tarbiyah dan Siasah. Melalui gerak kerja dakwah inilah, ahli-ahli dilatih dan dibentuk untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat awam. Ahli-ahli PAS menyeru masyarakat kepada perbuatan/amal yang baik, dan mencegah masyarakat daripada melakukan kemungkaran. Keseimbangan di antara gerak kerja tarbiyah dan dakwah ini adalah satu perkara yang sangat penting yang telah dilaksanakan oleh PAS, kerana PAS sedar bahawa berasaskan dua agenda inilah, agenda Siasah itu dapat dicapai dengan jayanya apabila tiba masanya kelak.

Fahamlah kita, apa yang dilaksanakan oleh PAS ini adalah selari dengan apa yang dilalui dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pada awal kerasulan Baginda, Baginda melaksanakan agenda tarbiyah dan dakwah secara bersama. Ketika mendidik dan mentarbiyah kaum kerabat yang terdekat dan para sahabat untuk menjadi penggerak dakwah bersama Baginda SAW, Rasulullah SAW juga tidak sedikit pun meninggalkan kerja dakwah, yang digerakkan bersama-sama dengan para pengikut Baginda SAW. Ketahuilah oleh kita semua bahawa Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW bukan sekadar sebagai seorang murabbi dan daie semata-mata, bahkan juga sebagai seorang pemimpin yang akan memimpin ummat akhir zaman ini. Bermakna, Rasulullah SAW menyedari bahawa kelak Baginda SAW akan menjadi pemimpin kepada sebuah negara dan empayar Islam, yang akan melaksanakan hukum Allah SWT di dalam pentadbirannya.

Inilah kaedah yang sebenar-benarnya yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada ummat manusia, proses dan jalan kepada kepimpinan Islam dan pembentukan sebuah negara Islam, yang dibawa melalui Rasulullah SAW. Untuk memimpin sebuah negara, TARBIYAH itu penting dan menjadi ASAS/TUNJANG kepada pembentukan para penggerak yang akan menerajui tampuk kepimpinan kelak. DAKWAH juga perlu dilaksanakan seiring dengan gerak kerja tarbiyah, bagi memastikan masyarakat awam memahami Islam dan beramal dengan Islam. Akhirnya, bilamana sampai masanya untuk mentadbir sebuah negara, maka di sana sudah tersedia individu-individu yang akan mengambil amanah kepimpinan ini, dan masyarakat awam juga menyokong dan mendokong kepimpinan Islam ini.

Tarbiyah dan Dakwah Membantu Kejayaan Agenda Siasah

Hari ini, saat ramai yang memberikan fokus kepada gerak kerja siasah, ada di sana individu-individu yang mengingatkan akan pentingnya TARBIYAH, memuhasabah para penggerak akan keperluan untuk meneruskan gerak kerja tarbiyah, walaupun pada waktu ini mungkin fokus lebih diberikan kepada gerak kerja siasah. Inilah indahnya PAS. Sebuah organisasi yang bergerak dengan tersusun rapi. Masing-masing memahami amanah dan tanggungjawab individu dan tanggungjawab bersama. Ada pihak yang berperanan mengingatkan ahli-hali yang lain akan BEKALAN yang perlu sentiasa diisi, agar segala dugaan, cabaran dan ujian sepanjang perjalanan ke Putrajaya itu mampu ditangani dan di atasi bersama. Apalagi, InsyaAllah, jika ditaqdirkan Putrajaya itu menjadi amanah PAS, maka di sana PAS telah bersedia UNTUK MENGISI KEMENANGAN ini, dengan ahli-ahli yang komited dan faham yang akan menjadi tunjang kepada kepimpinan Islam yang baik kelak.

Inilah sejarah panjang yang perlu semua penggerak dan pendokong PAS faham. PAS sebenarnya telah mempersiapkan bahtera dan para pejuangnya sejak dahulu lagi. Kini, laungan ke Putrajaya sudah kuat bergema. Saat ini, segala gerak kerja TARBIYAH dan DAKWAH yang PAS laksanakan selama ini akan menjadi SENJATA dan BEKALAN penting dalam merealisasikan hasrat untuk merampas Putrajaya daripada kepimpinan UMNO/BN yang zalim. Apa yang diharapkan sekarang adalah, para penggerak, pendokong dan ahli PAS dapat melaksanakan apa yang diajarkan dan dididik selama ini. Justeru, SEDARLAH dan FAHAMLAH kita semua bahawa, GERAK KERJA TARBIYAH itu tidak seharusnya ditinggalkan/dilupakan pada waktu ini, di saat semua pihak memberi fokus kepada hasrat menuju ke Putrajaya. Inilah bekalan kita bersama.

InsyaAllah, melalui tarbiyah inilah, semua penggerak mampu kembali menyucikan diri, Ibadah mampu dipertingkatkan, diri sentiasa dihiasi dengan akhlak yang baik dan terpuji, yang leka mampu dikejutkan, yang lupa mampu diingatkan, yang jauh mampu dirapatkan, yang terputus mampu disambung, yang bergaduh mampu didamaikan. Apabila semua hati-hati dapat disatukan dan digerakkan dengan fikrah yang sama, InsyaAllah, Putrajaya itu mamapu kita tawan, bahkan kita mampu membuktikan kelak, bahawa mentadbir bumi ini dengan Islam adalah cara yang terbaik. Akhirnya, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT ddi dalam surat An-Nasr:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ
وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (An-Nasr: 1-3)


Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah (Insan Rabbani),
23 Zulkaedah 1433H, 2.41pm

Monday, October 8, 2012

AKU TIDAK PANDAI BERCINTA!



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW, Penghulu Sekalian Alam, Utusan Untuk Ummat Akhir Zaman.

Cinta Itu Fitrah!

Saat Allah SWT menciptakan Nabi Adam A.S, Allah SWT telah mentaqdirkan wujud di dalam dirinya beberapa fitrah, yang menghiasai hidup seorang manusia. Antara fitrah seorang manusia ialah mempunyai perasaan cinta, kasih atau sayang dan ingin dicintai, dikasihi dan disayangi. Sebab itulah, Allah SWT telah menciptakan untuk Nabi Adam A.S seorang pasangan hidup yang bernama Hawa, bagi mengajarkan Nabi Adam A.S  dan manusia apa itu erti CINTA.

Hari ini semua manusia BERCINTA. Namun, CINTA mereka dalam pelbagai versi dan sudut. Dan hari ini banyak istilah mahupun ungkapan yang disebut, yang berkaitan dengan cinta. Antaranya, cinta monyet, cinta itu buta dan seumpama dengannya. Ini membuktikan bahawa cinta itu adalah FITRAH seorang manusia, dan manusia yang cuba menafikan perasaan cinta itu adalah mereka yang cuba mengingkari sesuatu ciptaan Allah SWT.

Cinta Tidak Sesekali Buta!

Ado orang kata dan berhujjah, “CINTA itu BUTA”, terutamanya dalam menggambarkan keadaan manusia yang bercinta sehingga lupa dan tidak terlihat akan perkara dan urusan lain. Namun, secara dasarnya, kenyataan ini adalah tidak tepat dan benar. Cinta itu sesekali tidak buta. Cinta itu adalah perasaan fitrah ciptaan Allah SWT. Cinta itu adalah suci dan murni, dan letaknya cinta itu adalah di HATI. Sedangkan hati itu adalah raja bagi seluruh anggota badan.

Walhal, cinta itu adalah hak Allah SWT, dan sifat Nabi Muhammad SAW. Mana mungkin hak Allah SWT disifatkan dengan sesuatu yang negative seperti buta. Ingatlah, cinta itu adalah penyuluh. Seseorang yang dicintai Allah SWT, pasti disuluh dan diterangi hidupnya dengan hidayah Allah SWT. Seseorang yang dicintai oleh Rasulullah SAW pasti disuluhi hidupnya dengan syafaat Rasulullah SAW. Bahkan seseorang yang mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW pasti hidupnya tidak buta.

Begitu juga, cinta seorang manusia kepada seorang manusia pasti menghasilkan satu hubungan yang baik dan erat. Cinta seorang anak kepada ibubapa, cinta seorang ayah/ibu kepada si anak, cinta seorang suami kepada si isteri, cinta seorang bos/pemimpin kepada rakyat, cinta seorang guru kepada pelajar dan cinta seorang saudara muslim kepada saudarnya yang lain pasti akan menjadikan kehidupan ini aman, damai dan tenteram.

Lalu, bilamana manusia terlalu asyik kepada seorang manusia, atau seorang manusia terlalu asyik dengan sesuatu yang diminati, sehingga membutakan dia daripada memberi fokus kepada benda dan urusan lain, maka adakah itu dikatakan sebagai CINTA ITU BUTA? TIDAK, bahkan manusia itu sebenarnya jauh sekali daripada mempunyai rasa cinta ataupun boleh dikatakan sebagai sedang BERCINTA. Dan yang buta itu bukannya cinta, tetapi manusia itu sendiri, kerana tidak mampu memahami apa itu cinta yang sebenarnya.

Allah SWT Raja Cinta, Rasulullah SAW Model Cinta

Cinta itu adalah perasaan ciptaan Allah SWT, yang dikurniakan kepada setiap manusia. Cinta itu juga adalah hak Allah SWT. Dijelaskan di dalam Al-Quran, bagaimana Allah SWT mencintai dan menyukai beberapa golongan manusia. Sebagai contohnya, di dalam surah Al-Baqarah dan Ali Imran:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesungguhnya Allah SWT mengasihi (mencintai) orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang suka mensucikan diri” (Al-Baqrah: 222)

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang sabar” (Ali Imran: 146)

Allah SWT adalah sebenar-benar Raja Cinta. Sesungguhnya cinta dan kasih Allah SWT kepada hamba-Nya tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Betapa kasih dan cintanya Allah SWT kepada manusia, sehinggakan dikurniakan kepada manusia pelbagai nikmat dan kemudahan, walaupun ramai dikalangan manusia yang ingkar dan tidak beriman kepada Allah SWT.

Allah SWT adalah Raja Cinta, yang mana cinta utama seorang manusia itu adalah cinta kepada Allah SWT. Mencintai Allah SWT bermaksud cinta dan patuh kepada segala suruhan Allah SWT, cinta kepada Rasul utusan Allah SWT. Sedangkan di dalam Al-Quran, Allah SWT telah memberi peringatan dan amaran keras kepada manusia yang lebih mencintai sesuatu yang lain melebihi cintanya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:


قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)" (At-Taubah: 24)

Selain itu, model cinta yang terbaik adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada manusia apa itu erti cinta yang sebenar. Cinta Rasulullah SAW kepada Allah SWT tidak dapat digambarkan oleh seorang manusia biasa. Bahkan cinta Rasulullah SAW kepada ummatnya begitu hebat dan mulia sekali. Lihatlah sendiri kisah saat Rasulullah SAW berdepan dengan saat kematian, Rasulullah SAW masih sempat mengingati dan menyebut, ‘Umatku, Umatku, Umatku’. Inilah bukti cinta sejati seorang rasul dan seorang pemimpin kepada ummatnya, sehinggakan banyak keadaan Rasulullah SAW melayani semua manusia dengan penuh kasih dan cinta.

Cinta Para Sahabat

Hasil didikan dan tarbiyah Rasulullah SAW, para sahabat adalah antara golongan yang benar-benar memahami dan mendalami apa itu erti cinta. Cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW tiada tolak bandingnya. Mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka, meninggalkan kesenangan dan kemewahan harta benda mereka, meninggalkan keseronokan bersama-sama keluarga dan kaum kerabat, semata-mata untuk membuktikan rasa cinta dan kasih mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Bahkan, mereka juga saling mencintai antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Lihatlah sahaja bagaimana kisah beberapa orang sahabat yang wafat selepas peperangan, kerana mengutamakan sahabat yang lain ketika mana masing-masing sangat memerlukan air kerana dahaga yang amat sangat. Lihatlah juga kisah-kisah yang berlaku sepanjang Proses Hijrah, banyak sekali bukti-bukti cinta dan kasih seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain.

Inilah keberjayaan Tarbiyah Rasulullah SAW. Inilah yang patut kita contohi dan teladani. Ya, memang sukar untuk mencapai tahap cinta sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat, namun mujahadah untuk melakukan yang terbaik itu perlu sentiasa diteruskan. Kerana, cinta inilah yang bakal membawa kebahagian kepada kita semua di dunia dan akhirat.

Aku GAGAL Dalam Cinta!

Hari ini, kita banyak menyatakan Aku Cinta Kepada Allah, Aku Cinta Kepada Rasul, Aku juga Cinta kepada Ibubapa dan saudara-saudara yang lain. Sedar atau tidak, cinta itu bukan sekadar ungkapan manis di bibir, tetapi apa yang lebih penting ia perlu dibuktikan dengan kejujuran tindakan kita. Kita kata aku sayang dan cinta Allah SWT, namun banyak masa kita mengingkari perintah Allah SWT dan tidak mengingati akan Allah SWT.

Kita kata, aku sayang Rasulullah SAW, namun kita tidak mahu untuk mengikuti sunnah Baginda SAW. Bahkan ada di antara kita yang sanggup mempersendakan dan mempermainkan sunnah Rasulullah SAW. Kita kata aku cinta Ibubapaku, namun kita selalu lupa untuk mendoakan mereka, kita selalu mengguris hati mereka dan kita selalu mengabaikan mereka. Kita kata aku cinta kepada sahabatku, namun banyak keadaan kita mengutamakan diri kita berbanding mereka, kita dengki dengan mereka bahkan kita menyakiti diri mereka.

Adakah ini yang dikatakan cinta? Siapa yang tidak mampu untuk menyatakan aku cinta, aku sayang, aku kasih. Namun, berapa ramai yang mampu membuktikan dengan tindakan dan perbuatan. Hakikatnya, kita GAGAL dalam bercinta, Aku GAGAL dalam bercinta.

Pun begitu, ingatlah bahawa cinta Allah SWT mengatasi segala kesalahan dan kekhilafan kita. Kerana cintalah Allah SWT menyediakan ruang dan peluang untuk kita kembali menyemai dan mencari cinta yang sejati dan hakiki. TAUBAT. Inilah jalan yang Allah SWT bukakan kepada kita untuk kita menginsafi segala kesalahan kita dalam bercinta. Cubalah dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan kelak, AKU BERJAYA DALAM CINTA.

Memburu Cinta Hakiki

Raihan pernah ungkapkan di dalam nasyid mereka, Cinta Hakiki

Cinta kan Allah cinta sebenarnya
Itulah cinta yang sejati
Kasihlah sesama manusia
Kerna cinta yang hakiki
Hanya untuk Tuhan yang Esa

Burulah cinta hakiki ini, kerana hanya dengan cinta inilah, kita akan mendapat ketenangan dan kedamaian di dunia dan diakhirat. Selamat BERCINTA buat kalian semua. Semoga CINTA ALLAH SWT bersama kita semua.

(Dengarlah, sajak Mencari Cinta dari Juara Pertandingan Deklamasi Sajak Alam Ria PASTI Malaysia 2012)

INSAN RABBANI,
22 Zulkaedah 1433H, 10.30am